[VIDEO] 'Tugas belum selesai', Azeem Fahmi & Co muncul terpantas NCAA


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Azeem semakin dikenali sebagai antara pelari utama di peringkat kolej di Amerika Syarikat. — Instagram/AzeemFahmi

PELARI pecut kebangsaan, Mohd Azeem Fahmi terus mengukir nama di arena olahraga kolej Amerika Syarikat (AS) apabila membantu pasukan Universiti Auburn mara ke final acara 4x100 meter berganti-ganti Kejohanan NCAA Divisyen Satu dengan catatan masa yang menyamai rekod kejohanan.

Berlangsung di Hayward Field, Universiti Oregon, Oregon, kuartet Auburn mencatat masa 37.97 saat dalam saringan ketiga separuh akhir, menyamai rekod yang mereka cipta pada edisi tahun lalu, juga merupakan catatan ketiga terpantas dalam sejarah kejohanan NCAA.

Pasukan yang diketuai Azeem selaku pelari pertama, diikuti oleh Kayinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba, mempamerkan larian bertenaga dan pertukaran baton yang kemas untuk memastikan mendapat tempat di pusingan akhir.

BACA LAGI: Sikit lagi nak pecah rekod kebangsaan, Azeem Fahmi manusia terpantas di Carolina Utara

BACA LAGI: Azeem Fahmi terus menyerlah di AS, catat masa terpantas 4x100m

Azeem yang kini semakin dikenali sebagai antara pelari utama di peringkat kolej di AS tampil memberi mesej ringkas mahu memberi lebih banyak kemenangan kepada universitinya, Auburn.

"Tugas belum selesai," mesej ringkas ditulis universiti berkenaan sambil memuat naik video atlet kebangsaan itu menghabiskan lariannya untuk Auburn Tigers.

Auburn muncul sebagai pasukan terpantas daripada kesemua tiga saringan separuh akhir, mengatasi South Florida (38.12s) dan Universiti Negeri Louisiana (LSU) yang mencatat 38.14s. Pasukan lain yang turut melayakkan diri ke final termasuk Minnesota (38.16s), Tennessee (38.47s), Arkansas (38.51s), Kentucky (38.60s), Texas (38.70s), dan Universiti Southern California (38.71s).

Sebagai juara bertahan edisi 2024, Auburn Tigers kini menggalas misi penting untuk mempertahankan kejuaraan mereka di pentas tertinggi olahraga kolej Amerika, dengan harapan tinggi diletakkan ke atas kuartet yang sedang berada pada prestasi terbaik.

 

 

 

 

Sebelum ini, Azeem mengejutkan dunia olahraga apabila memenangi acara larian 100 meter di Kejohanan Olahraga Universiti Appalachian State yang berlangsung di Boone, Carolina Utara, AS pada Mei lepas.

Azeem Fahmi yang berusia 21 tahun itu menamatkan perlumbaan akhir di tempat pertama dengan catatan masa 10.09 saat.

Namun begitu, masa tersebut tidak diiktiraf sebagai menyamai rekod kebangsaannya selepas kelajuan angin yang dikesan melebihi had yang dibenarkan. Masa itu kemudiannya diselaraskan semula kepada 10.12 saat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram