
PELARI pecut sensasi negara, Nur Aishah Rofina Aling terus mencuri tumpuan apabila merangkul pingat emas dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Thailand Open Track and Field Championship 2025.
Kejayaan itu menyusul selepas anak jati Sabah itu memperbaharui catatan masa terbaiknya dalam acara 200 meter di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur April lalu, membuktikan bahawa prestasinya kini berada pada tahap tertinggi.
Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Team Media Atlet Sabah, Nur Aishah yang digelar Sabah Speed Queen mempamerkan larian bertenaga apabila mendahului sejak tembakan permulaan.
BACA LAGI : Baqiuddin Shamsudin sah sarung jersi TFC, alangkah baiknya sepupu dari Sri Pahang ikut sama
BACA LAGI : Masih ada kekosongan, 3 lagi bintang import termasuk Park Tae-su boleh jadi sasaran Kuching City
Lebih membanggakan lagi, Nur Aishah menamatkan saingan dengan masa 11.90 saat (s).
"Nur Aishah memang tak bagi ruang dari tembakan mula lagi dan terus mendahului sampai habis!” menurut kenyataan tersebut yang turut mengucapkan tahniah kepada jurulatihnya, Jumain.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Nur Aishah sebagai antara pelari pecut wanita terbaik negara ketika ini.
Untuk rekod, Nur Aishah berjaya mencatat 24.69s di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur bagi memadamkan catatan masa terbaiknya sebelum ini, 25.14s di Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022.
Pada masa sama, dia juga pemegang rekod kebangsaan bagi acara 4x100m wanita dengan catatan 44.58s bersama Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Afrina di Sukan SEA Kemboja 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram