
PELARI pecut kebangsaan, Azeem Fahmi sekali lagi mencipta kejayaan gemilang apabila dia bersama rakan sepasukan meraih pingat emas kedua berturut-turut dalam Kejohanan Trek & Padang NCAA di Amerika Syarikat.
Atlet Universiti Auburn itu, bersama Kanyinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba, mencatat masa 38.33 saat untuk merangkul tempat pertama dalam acara lari berganti-ganti 4x100 meter di Hayward Field, Universiti Oregon pada hari Jumaat.
Pasukan Universiti Southern California pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 38.46 saat, manakala Universiti Arkansas berada di tempat ketiga dengan masa 38.72 saat.
BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia boleh ikut cara Uzbek jika layak ke Piala Asia
Sebelum itu, kuartet Auburn mencatatkan masa 37.97 saat pada pusingan separuh akhir, menyamai rekod yang mereka cipta pada edisi tahun lalu.
Catatan tersebut juga merupakan masa ketiga terpantas dalam sejarah kejohanan NCAA di Hayward Field.
Menariknya, dalam satu temubual bersama rakan sepasukannya, Dario Matau, loghat Azeem menarik perhatian ramai kerana seolah-olah sudah seperti penutur asli Bahasa Inggeris (Mat Saleh).
Situasi itu dipercayai berpunca daripada pengajiannya di luar negara dan pergaulannya dengan rakan-rakan dari pelbagai negara.
Dalam satu video yang dikongsi di YouTube, pertuturan Azeem yang teratur dan lancar menggunakan Bahasa Inggeris ketika menjawab soalan media benar-benar mencuri tumpuan ramai.
Walaupun begitu, ia bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan kerana Azeem telah berada di Amerika Syarikat sejak 2023 untuk melanjutkan pelajarannya di luar negara. Namun, perkara itu tetap menarik perhatian peminat sukan olahraga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram