
ATLET muda sensasi dari Pensiangan, Sabah, Nur Alferra Nissa Nordye mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan rekod lama acara 100 meter (m) wanita dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSSS) Sabah Kali Ke-57 pada Selasa.
Dalam pertandingan di Kompleks Sukan Tambunan itu, pelari berbakat besar tersebut mencatat masa 12.50 saat, menewaskan rekod lamanya sendiri iaitu 12.71 saat yang dicipta sebelum ini bagi kategori perempuan 15 tahun.
Kejayaannya itu sekali gus membuktikan peningkatan prestasi luar biasa dan konsistensi dalam pecutan jarak pendek.
BACA LAGI : [VIDEO] Sabah Speed Queen terus garang, rangkul emas di Thailand
Kejayaan Nur Alferra bukan sahaja memberi kelebihan kepada pasukan Pensiangan dalam pungutan pingat, tetapi turut membakar semangat kontinjen lain yang menyaksikan saingan semakin sengit antara sekolah daerah.
Nur Alferra mencatat masa 12.50 saat, menewaskan rekod lamanya sendiri iaitu 12.71 saat yang dicipta sebelum ini.
Malah rata-rata pengguna media maya memuji pencapaian tersebut sebagai satu penanda aras baharu bagi atlet sekolah di negeri itu, dengan harapan Nur Alferra dapat terus digilap ke peringkat kebangsaan.
Petrus Petrelli, berkongsi rasa kagum terhadap prestasi Nur Alferra di media sosial.
"Kagum aku dengan sumandak Pensiangan ini. Macam 'terbang' sudah dia, semoga berjaya cipta nama di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)," katanya.
Acara tahunan yang menghimpunkan atlet sekolah terbaik seluruh Sabah itu terus menjadi platform penting mencungkil bakat masa depan negara dalam bidang olahraga.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram