Tiada pemain mahu panaskan bangku simpanan jika di Eropah, tapi lain pula di Malaysia — Pekan Ramli


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

Pemain dalam liga tempatan tidak kisah berada di bangku simpanan selagi kebajikan dan kestabilan dijaga pihak pengurusan.

SUDAH menjadi lumrah buat mana-mana pemain bola sepak untuk mendapatkan minit permainan mencukupi kerana masa dihabiskan di bangku simpanan diibaratkan sebagai 'penjara' buat mereka.

Ini kerana sepanjang berada di tepi padang, mereka hanya dapat menyaksikan rakan sepasukan ligat beraksi tanpa dapat membuat sebarang sumbangan penting.

Jadi, dalam usaha mengelak situasi itu daripada berterusan, mereka akan membuktikan kesungguhan di padang latihan dengan harapan barisan kejurulatihan menyedari keazaman ditonjolkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari bangku simpanan kini ‘regular starter’ Liga M musim 2024

BACA LAGI: Dah macam JDT, Selangor dan TFC mungkin jadi 'port' baharu panaskan bangku simpanan

Pemain sudah tentu kecewa jika terus diletakkan di bangku simpanan tanpa diberi sebarang peluang.

Bagaimanapun, berbeza dalam arena bola sepak tempatan apabila sesetengah pemain tidak berdepan masalah sekiranya terus 'diperam' di bangku simpanan dari perlawanan ke perlawanan.

Ini kerana mereka sekadar menerima keputusan tersebut tanpa sebarang perubahan cuba ditonjolkan sehingga pada akhirnya, bakat dimiliki terus malap tanpa sebarang perkembangan.

Perkara itu turut diakui pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang berpandangan bintang profesional tidak akan pernah berpuas hati jika terus diperam tanpa minit permainan.

"Tiada pemain yang boleh duduk di bangku simpanan dan terus berasa puas hati. Saya boleh katakan, tipulah sekiranya dia tidak kecewa jika kempunan untuk beraksi meskipun kelab disertainya cukup megah.

"Meskipun fasiliti lengkap dan bayaran adalah terjamin, kepuasan dirasakan mungkin timbul dari segi peribadi dan kita bukan bercakap sebagai seorang pemain profesional," katanya kepada Majoriti.

Perdebatan akan perkara tersebut timbul selepas bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi tampil menyatakan peluang terhad dihadapinya sepanjang di Selatan tanah air bukanlah satu isu baginya.

Dia beranggapan pengalaman dan peluang selama 11 tahun bersama kelab itu cukup berharga sambil menyatakan seseorang pemain perlu bersaing demi mendapatkan minit permainan.

Pandangan dikongsikan itu kemudian hangat dibincangkan peminat bola sepak tempatan dengan ada yang menyokong perkara tersebut sementara sesetengah yang lain berpandangan bakat Izham hanya disia-siakan.

Dalam pada itu, Pekan berkata, landskap Liga Super yang berbeza dengan Eropah membuatkan kepuasan itu mudah lahir kerana tiada pilihan lain dimiliki untuk mempamerkan bakat masing-masing.

Sesetengah pemain tidak berdepan sebarang masalah jika terus diletakkan di bangku simpanan.

"Di Eropah, jika kita bercakap mengenai gaji dan saingan hebat untuk dapat tempat dalam kesebelasan utama, pemain akan mencari pasukan untuk pastikan mereka mampu beraksi kerana enggan berada di bangku simpanan walaupun selesa sekali pun.

"Tetapi, berbeza di Malaysia, anda boleh pergi ke mana-mana kelab, cuma faktor pasukan lain yang serba tidak lengkap dan kedudukan kewangan tidak stabil, ini menyebabkan mereka kekal di pasukan yang boleh memberi kestabilan," katanya.

Melihat kepada struktur kewangan kelab tempatan, hanya beberapa pasukan tidak mengalami masalah tersebut dalam beberapa musim kebelakangan ini, terutamanya JDT dan Selangor FC.

Fasiliti kedua-dua kelab itu juga merupakan yang terbaik kerana pemain dapat menjalani sesi latihan dalam fasiliti lengkap sementara pasukan lain tidak dapat menjanjikan hal sedemikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram