
PEMERHATI sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pemberian peruntukan sebanyak RM1 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sebagai perkara lazim dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak, khususnya kelab-kelab lain dalam saingan Liga Super.
Menurut beliau, sumbangan itu merupakan hak prerogatif Perdana Menteri yang hadir sebagai tetamu kehormat dalam sebuah majlis anjuran KLFA baru-baru ini dan bukan sesuatu yang luar biasa.
"Secara peribadi, saya anggap itu hak PM untuk beri sumbangan kepada siapa pun. Tambahan pula, beliau hadir atas jemputan, mungkin juga atas inisiatif menteri kabinetnya.
"Sudah tentu penganjur mengharapkan sesuatu dan kebiasaannya pengumuman sumbangan memang dinantikan dalam majlis sebegitu,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Tiada aksi Piala Shopee, Sabah FC miliki peluang uji taring lawan Buriram United
Mengulas lanjut, Dr Pekan menjelaskan bahawa tiada isu berbangkit sekiranya sumbangan itu dianggap sebagai usaha menyokong pembangunan bola sepak tempatan, seperti yang sering dilakukan kerajaan kepada pasukan lain termasuk skuad kebangsaan.
"Kalau kita boleh terima bila PM umum puluhan juta untuk Harimau Malaya atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kenapa sumbangan kepada kelab negeri seperti KLFA dipersoalkan?.
"Perkara seperti ini bukan luar biasa. Kelab-kelab lain juga mendapat tajaan daripada anak syarikat kerajaan negeri masing-masing,” ujarnya.
Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta KLFA sebagai usaha menyokong pembangunan semula sukan bola sepak di ibu negara. — Facebook
Beliau turut mengingatkan bahawa pasukan lain tidak sepatutnya merasa iri hati, sebaliknya perlu bijak merebut peluang dengan mengadakan program atau inisiatif sendiri untuk menarik perhatian pemimpin tertinggi negara.
"Jangan iri hati dengan KLFA. Kalau rasa nak juga, buatlah program seperti mereka, jemput PM datang dan mohon sumbangan waktu itu. Mana tahu, dapat lebih lagi. Dalam dunia sukan, kena pandai berstrategi, bukan sekadar tunggu dan lihat,” katanya.
Menjawab dakwaan kononnya peruntukan itu datang secara langsung daripada dana kerajaan pusat, Pekan menyarankan agar semua pihak tidak membuat andaian melulu, memandangkan tiada pengesahan rasmi dan kemungkinan ia adalah sumbangan peribadi Perdana Menteri.
"Kita pun tak tahu sumber sebenar sumbangan itu. RM1 juta bukan sesuatu yang mustahil untuk diberikan secara peribadi oleh PM. Jadi, lebih baik kita bersangka baik dan tidak membesarkan isu ini tanpa fakta sahih,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri ke-10 itu mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada KLFA bagi membantu usaha pembangunan bola sepak di ibu negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram