
ISU pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dibenarkan beraksi menentang kelab asal mereka dalam saingan Liga Malaysia tidak lagi berbangkit selepas pemilik kelab itu memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang bentuk sekatan terhadap pemain terbabit.
Menurut penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, keputusan itu menunjukkan pendekatan lebih profesional dan adil dalam memastikan prinsip 'Fair Play' terus dijunjung dalam kancah bola sepak negara.
“Secara dasarnya, syarat larangan bermain ketika menentang kelab asal bukanlah sesuatu yang melanggar undang-undang, malah ia dibenarkan sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam perjanjian pinjaman.
BACA LAGI: Jangan tunggu lama-lama, 3 khabar angin termasuk Syafiq Ahmad masih belum dimuktamadkan
“Namun saya berpandangan, adalah kurang sesuai untuk kita terus menggunakan istilah ‘gentleman agreement’ jika perjanjiannya sendiri tidak bersifat 'gentleman'.
"Bila ada sekatan atau larangan tertentu, ia seolah-olah menafikan hak dan kebebasan pemain untuk memberikan aksi terbaik mereka,” katanya kepada Majoriti.
Manuel Hidalgo antara pemain yang dipinjamkan JDT ke kelab lain.
Beliau turut merujuk kepada contoh Liga Perdana Inggeris (EPL), yang mana pemain pinjaman memang tidak dibenarkan beraksi menentang pasukan asal dalam liga dan saingan domestik seperti Piala FA, satu ketetapan yang sah di sisi peraturan liga.
Namun, menurut Pekan, dalam konteks bola sepak Malaysia yang masih membina daya saing, ruang dan kebebasan lebih luas kepada pemain adalah penting untuk perkembangan mereka.
“Pemain dipinjamkan atas pelbagai sebab sama ada tidak berada dalam perancangan jurulatih, lebihan pemain, untuk mendapatkan semula kecergasan selepas kecederaan atau bagi memberi pendedahan kepada pemain muda.
“Jadi, menyekat mereka daripada beraksi menentang kelab asal tidak memberikan manfaat jangka panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyambut baik kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang dilaporkan tidak lagi meneruskan ‘gentleman agreement’ terhadap pemain-pemain pinjaman kelab itu musim ini.
“Ini satu perkembangan yang sangat dialu-alukan. Istilah ‘jangan lawan tauke’ tidak lagi relevan kerana kini para pemain pinjaman JDT diberi kebebasan penuh untuk beraksi, termasuk menentang pasukan induk mereka sendiri.
“Keputusan ini menjadikan suasana liga lebih kompetitif dan profesional. Inilah sebenarnya semangat bola sepak sejati,” jelas Dr Pekan.
Musim ini menyaksikan ramai pemain JDT dipinjamkan ke pasukan lain termasuk Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC dan kelab-kelab lain, sekali gus memberi peluang kepada mereka mendapatkan minit permainan serta terus bersaing pada tahap tertinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram