Kebaikannya untuk JDT, tapi pemain warisan tetap beri impak positif buat skuad kebangsaan — Pekan Ramli


  • Podium
  • Rabu, 16 Jul 2025

Skuad Harimau Selatan kini memiliki tiga pemain warisan Harimau Malaya yang akan beraksi bersama JDT dalam saingan Liga Super musim depan. — Facebook/JST

TINDAKAN Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumpulkan majoriti pemain warisan dan naturalisasi di kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebenarnya memberi kelebihan besar kepada skuad Harimau Malaya.

Pandangan itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli yang beranggapan bahawa selain memperkuatkan JDT dalam saingan domestik dan antarabangsa, pendekatan mengumpulkan pemain warisan dan naturalisasi dalam satu pasukan memberi kelebihan tersendiri.

Menurutnya, pendekatan itu secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada skuad kebangsaan, khususnya dari segi logistik, perancangan latihan serta pembentukan keserasian dalam kalangan pemain.

BACA LAGI: [VIDEO] JDT, KL City nyaris jadi mangsa amukan Buriram tapi Sabah, Kelantan lebih bernasib malang

BACA LAGI: Jang Hobin tak main-main, Luqman Hakim antara 3 bintang menyerlah lepas calar ego Kelantan RW

“Memang kita tahu kebanyakan pemain warisan terbaik telah dikumpulkan sejak sekian lama di JDT, bahkan pemain naturalisasi pun begitu juga.

“Kebaikannya sudah pasti untuk JDT, namun dalam masa yang sama, ia memberi impak positif kepada skuad kebangsaan," katanya kepada Majoriti.

Hector Hevel merupakan rekrut baharu JDT bagi musim 2025/2026. — Facebook/JST

Beliau turut menjelaskan bahawa apabila sebahagian besar pemain berada dalam satu kelab, lebih mudah bagi barisan kejurulatihan tanah air menyusun program latihan, terutamanya dalam jendela FIFA.

“Mereka boleh memupuk persefahaman dan membentuk 'chemistry' lebih mantap kerana sudah bersama dalam satu pasukan untuk beraksi di peringkat saingan liga dan skuad kebangsaan.

“Perancangan untuk sebarang persiapan latihan skuad kebangsaan lebih mudah diatur berbanding jika mereka bermain dengan pelbagai pasukan dan kelab luar negara," ujarnya.

JDT mencipta kejutan apabila mengumumkan penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo sebagai tonggak baharu mereka. — Facebook/JST

Mengulas mengenai pemain yang beraksi di luar negara, beliau menegaskan tiada salahnya pemain warisan terus beraksi di kelab luar negara selagi mereka mampu mengekalkan prestasi setiap kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Secara dasar memang mereka boleh dilepaskan pada bila-bila masa jika kejohanan berada dalam kalendar FIFA, namun kadang kala kelab-kelab luar lebih berhati-hati, terutama jika melibatkan risiko kecederaan atau jadual padat.

"Semua kelab di dunia tidak boleh menghalang pemain dari berkhidmat untuk negara apabila diperlukan. Yang penting adalah pemain yang beraksi di luar negara perlu berada pada tahap bersedia dan kekal menjaga prestasi setiap kali diperlukan," jelasnya.

Sebelum ini, JDT mengejutkan penyokong tanah air apabila mengumumkan tiga pemain warisan iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo sebagai tonggak Harimau Selatan musim 2025/2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram