Dah macam JDT, Selangor dan TFC mungkin jadi 'port' baharu panaskan bangku simpanan


  • Podium
  • Ahad, 17 Mac 2024

Selangor FC dan Terengganu FC membuat pelaburan besar-besaran untuk mempersiapkan pasukan masing-masing. — Facebook/Terengganu FC

SEPANJANG jendela perpindahan kali ini, beberapa pemain berjaya mencari kelab baharu demi mendapatkan minit permainan atau mahu mencuba pengalaman baharu.

Perkara berkenaan turut dilakukan import yang berpindah untuk meneruskan karier masing-masing dalam Liga Super meskipun ada daripada mereka mendapat tawaran di luar negara.

Melihat kepada laporan sepanjang jendela dibuka, Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pasukan paling sibuk dalam membawa masuk serta melepaskan pemain.

Pendekatan berkenaan diambil memandangkan terlalu ramai pemain dimiliki mereka pada musim-musim lalu sehingga kerap memanaskan bangku simpanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas cipta nama di Australia, ada yang tiba-tiba 'claim' Nurelfira dari Indonesia, bukan Tawau

2243166

Kecenderungan JDT 'memeram' pemainnya dalam bangku simpanan sering dipertikaikan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Keputusan itu juga dilaksanakan dalam misi pihak pengurusan kelab mengurangkan kos pengoperasian setelah beberapa tahun mencengkam arena bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, perubahan dibuat masih belum menandakan isu tersebut tidak akan berulang memandangkan masih terdapat nama-nama yang akan kerap disisihkan.

Tetapi, JDT bukanlah satu-satunya pasukan bakal berdepan masalah berkenaan kerana beberapa kelab lain berpotensi mengalami isu lambakan pemain.

Berdasarkan pengamatan, Selangor FC dan Terengganu FC merupakan dua lagi gergasi Liga Super akan mengalami perkara itu selepas berbelanja besar sepanjang jendela perpindahan.

Meskipun isu berkenaan masih belum berlaku, terdapat faktor dan nama-nama yang dijangka akan menjadi calon untuk memanaskan bangku simpanan di ketiga-tiga kelab itu.

1. JDT

Seperti dinyatakan di atas, JDT merupakan salah sebuah pasukan tersibuk sepanjang jendela perpindahan dalam misi mengurangkan perbelanjaan tahunan.

Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad merupakan beberapa nama besar yang meninggalkan skuad Harimau Selatan dengan status pinjaman.

Kesemua mereka berkenaan diberikan peluang untuk mencari angin baharu musim depan selepas sukar memperoleh minit permainan dan lebih kerap dimasukkan sebagai pemain simpanan.

Bagaimanapun, pemergian mereka itu diisi dengan kehadiran beberapa wajah baharu seperti Nicolao Dumitru dan pemain naturalisasi negara, Romel Morales.

BACA LAGI: Ramai masih ingat, bintang Korea Selatan muncul hero Sang Seladang benam kelab Pantai Timur

432005498_978778596951450_6232311474342509629_n

Romel perlu mencurahkan usaha terbaik sekiranya mahu merebut tempat dalam skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Melihat kepada senarai perpindahan tersebut, skuad kendalian Hector Bidoglio berkemungkinan terpaksa meletakkan beberapa nama di bangku simpanan secara kerap.

Antara yang berpotensi disisihkan ialah Romel kerana adanya pelbagai pilihan di posisi serangan, serta Nazmi Faiz Mansor dengan beberapa wajah baharu tiba di bahagian tengah.

Namun, kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu pihak kejurulatihan JDT memandangkan terdapatnya persaingan cukup hebat dalam kesemua aspek.

Sekiranya masing-masing mahu meraih peluang di atas padang, mereka perlu memberikan usaha di padang latihan serta mengambil kesempatan sebaiknya setiap kali dimasukkan.

2. Selangor FC

Dalam misi beraksi lebih baik dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2, Selangor FC memilih untuk membawa masuk pemain baharu, terutamanya dalam kalangan import.

Pemain sayap dari Cape Verde, Alvin Fortes dan penyerang Chile, Ronnie Fernandez disambar dengan masing-masing diharapkan mampu membantu pasukan memburu jaringan.

Bagi memperkuatkan benteng pertahanan, skuad Gergasi Merah mengalu-alukan kehadiran bek dari Uzbekistan, Umarbek Esmurodov yang berpengalaman di pentas Asia.

2030655

Terdapat kemungkinan Harith Haiqal akan digugurkan bagi memberi tempat kepada Umarbek. Facebook/Selangor FC

Kemasukan nama-nama baharu itu pasti akan membawa nafas baharu buat kelab Lembah Klang terbabit yang mahu terus menjadi pencabar takhta Liga Super.

Namun, impak di sebalik perbelanjaan besar dibuat adalah apabila beberapa pemain akan disisihkan Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil dengan kerap.

Harith Haiqal yang cemerlang sebagai bek tengah berpotensi digugurkan untuk memberi laluan buat Umarbek sementara Aliff Haiqal akan diletakkan di bangku simpanan lebih kerap.

Mereka juga pasti tidak akan dibenarkan untuk meninggalkan Selangor FC secara pinjaman kerana kelab itu mahu beraksi cemerlang di peringkat domestik.

3. Terengganu FC

Setelah gagal merebut slot ke Asia, Terengganu FC tekad berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini apabila mengumumkan kehadiran beberapa wajah baharu.

Akhyar, Safawi dan Azam Azmi Murad hadir secara pinjaman dari JDT sementara Akram Mahinan tiba selepas kontraknya bersama Kuala Lumpur (KL) City tidak disambung.

Bagi pemain import pula, skuad Sang Penyu membawa masuk Matthew Steenvoorden dan Ismahil Akinade di samping mendapatkan semula khidmat bekas kapten, Manuel Ott.

Kesemua nama yang disambar itu sudah cukup untuk mengatakan pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner tersebut mampu memberi saingan lebih hebat.

428704682_387957837278990_2510499282393679935_n (1)

Akhyar (kiri) dan Safawi pasti akan menjadi pilihan utama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, seperti Selangor FC dan JDT, kelab Pantai Timur itu berkemungkinan terpaksa menyisihkan pemain demi memberi peluang buat wajah-wajah baharu.

Minit permainan Nor Hakim Hassan dan Nik Sharif Haseefy yang sememangnya sudah terhad musim lalu pasti akan lebih terkesan dengan kehadiran duo JDT itu.

Selain itu, Argzim Redzovic juga dijangka berdepan nasib sama sementara peluang 'ubi muda' termasuk Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul Fazili turut terkesan.

Pendekatan terbabit dikhuatiri berisiko menyebabkan Terengganu FC dilabel kelab yang menyekat perkembangan bakat muda di samping meletakkan noktah karier pemain masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram