
KAPTEN Selangor FC, Safuwan Baharudin sah dipinjamkan ke kelab Singapura iaitu Lion City Sailors FC dengan status pinjaman untuk membantu pasukan itu menghadapi saingan musim 2025/2026.
Pengarah Eksekutif Lion City Sailors, Bruce Liang berkongsi bahawa kelebihan yang dimiliki oleh Safuwan bakal memberi suatu nilai tambah baharu buat pasukan bagi menghadapi musim akan datang.
Bukan itu sahaja, dia juga berpendapat bahawa kehadiran Safuwan yang tenang, mentaliti mencapai kemenangan dan kepelbagaian posisi bakal menambahkan kekuatan serta ketebalan penting kepada pasukan Singapura itu.
BACA LAGI: Ada 3 sebab perpindahan Safuwan Baharuddin ke Lion City Sailors bawa rahmat
BACA LAGI: Angkara lantang, Safuwan alami nasib 'dibeku' seperti bekas tonggak TFC, bintang JDT
Perpindahan secara pinjaman itu dijangka memberi peluang buat Safuwan untuk kembali beraksi secara kompetitif di negara kelahirannya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier profesionalnya.
Ada juga melihat perpindahan bek tengah berusia 33 tahun berkenaan ke naib juara Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/2025 berkenaan sebagai langkah meredakan keadaan dengan Katsuhito Kinoshi.
Pemerhati bola sepak tanah air iaitu Datuk Dr Pekan Ramli, jika wujud masalah antara Safuwan dan jurulatih, lebih baik pemain itu dilepaskan terus daripada menggunakan status pinjaman yang dianggap kurang jelas dan membingungkan.
“Kalau saya, kalau tak perlu pinjam pun, patutnya lepaskan dia terus. Kalau tak boleh, orang kata tak ada chemistry dengan coach. Status pinjaman ini kadang-kadang tidak jelas justifikasinya.
"Kalau tidak nak pakai, lepaskan dia saja kalau dua belah pihak setuju. Tak perlu pakai istilah pinjam-pinjam. Kalau Lion City menanggung sepenuhnya gaji Safuwan, lepaskan dia. Itu lebih baik," katanya kepada Majoriti.
Beliau menjelaskan, biasanya pemain yang dipinjamkan bermakna pemain tersebut bukan dalam rancangan utama jurulatih untuk musim ini. Namun, status pinjaman memberi ruang kepada kemungkinan pemain itu dipanggil semula pada masa akan datang.
Pekan Ramli turut menegaskan bahawa Safuwan adalah pemain yang penting dan sangat diperlukan oleh Selangor, tetapi apabila berlaku krisis antara pemain dan jurulatih, ia memberi kesan mendalam kepada pemain.
“Pemain bola sepak ini bila diberi peluang, mereka semua nak bermain dalam setiap perlawanan. Safuwan ini memang pemain yang sangat diperlukan dalam kesebelasan utama Selangor.
"Tapi kalau ada isu dengan jurulatih, dia (Safuwan) pasti terkilan. Mungkin sebab itu dia luahkan perkara ini kepada media sebagai jalan terakhir,” katanya mengulas Safuwan mendedahkan perkara berkenaan kepada pihak media.
Beliau juga memuji disiplin dan reputasi Safuwan sebagai pemain yang dihormati di Singapura dan Malaysia, dan percaya Safuwan tidak akan bertindak tanpa memikirkan kesan dan impaknya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan Safuwan berkongsi sedia untuk meninggalkan Gergasi Merah kerana tidak dimasukkan dalam senarai pemain utama oleh Kinoshi yang juga mesra dipanggil sebagai Kino.
Manakala, Kinoshi pula enggan mengulas panjang berhubung kenyataan kontroversi kapten Selangor itu dengan dia menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah membentuk pasukan mantap bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram