
STATUS sebagai ketua pasukan tidak memberi jaminan kepada seseorang pemain bola sepak untuk kekal bersama kelab semasanya lagi-lagi jika terdapat isu mengganggu hubungan baik di antara kedua-dua pihak.
Senario itu baru-baru ini terjadi dalam kem Selangor FC apabila kapten mereka iaitu Safuwan Baharudin dilaporkan tidak berada dalam perancangan ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi.
Walaupun tiada penjelasan mengenai dakwaan dari Safuwan itu namun, tindakan pihak pengurusan Gergasi Merah meminjamkan dia ke kelab Singapura iaitu Lion City Sailors FC seolah-olah langkah meredakan keadaan dengan Kinoshi.
BACA LAGI: Tak usah guna status pinjaman, lepaskan terus Safuwan jika ada isu dengan coach Kino — Pekan Ramli
BACA LAGI: Ada 3 sebab perpindahan Safuwan Baharuddin ke Lion City Sailors bawa rahmat
Status pinjaman itu seolah-olah langkah awal untuk mereka memberi bayangan mahu melepaskan Safuwan meskipun bek tengah kelahiran Singapura itu merupakan watak penting Gergasi Merah untuk beberapa musim.
Bukan hanya menjadi taruhan utama untuk menjaga bahagian belakang kelab Lembah Klang berkenaan, Safuwan juga diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten pada musim 2024/2025.
Memainkan banyak peranan termasuk bertanggungjawab sebagai kapten bagaimanapun tidak memberi jaminan dan keselesaan kepada Safuwan. Menariknya, Safuwan bukan kapten pertama dilepaskan Selangor.
1) Amri Yahyah
Amri antara pemain terbaik sepanjang zaman Selangor. — Facebook/SelangorFC
Penyerang legenda Selangor FC, Amri Yahyah yang merupakan ketua pasukan Selangor pada musim 2019 meninggalkan pasukan berkenaan pada musim berkenaan selepas hampir 16 tahun berbakti untuk Gergasi Merah.
Difahamkan ketika itu, anak jati Tanjung Karang, Selangor berkenaan tidak melanjutkan kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan memutuskan untuk meninggalkan pasukan itu.
Ia merupakan perpisahan kali kedua Amri dengan kelab tersebut susulan pada musim 2013, dia meninggalkan Selangor kerana menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2014 hingga 2016.
Perpisahan pada musim 2019 sangat mengejutkan penyokong berikutan bekas penyerang kebangsaan itu sebelum ini berhasrat untuk terus kekal beraksi bersama Selangor sehingga umur 40 tahun.
Dakwaan menyatakan faktor 'pilih bulu' yang didakwa sering diamalkan bekas pengendali Selangor, mendiang B.Sathianathan antara penyumbang kepada rasa hambar Amri untuk meneruskan khidmat bersama Selangor.
Pemain itu sering tersisih daripada aksi penting dan penampilan terakhir Amri bersama Selangor musim 2019 iaitu ketika bertemu Felda United dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.
2) Syahmi Safari
Syahmi juga antara kapten Selangor yang dilepaskan. — Facebook/SelangorFC
Jodoh bek kanan, Syahmi Safari untuk terus menyarung jersi keramat Merah Kuning tidak kesampaian selepas kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama dengan berakhir secara rasmi pada November 2021.
Ketika itu, pemain kebangsaan berkenaan dilaporkan masih mempunyai kontrak sehingga musim 2023 tetapi dilepaskan lebih awal kerana difahamkan mahu menyertai skuad Harimau Selatan.
Difahamkan, ketika itu Syahmi yang mempunyai baki kontrak dua tahun itu tidak meninggalkan kelab secara percuma. Sebaliknya, Gergasi Merah mendapat pampasan sewajarnya secara penuh.
Pada musim berkenaan, anak jati Kuala Selangor terbabit dipertanggungjawabkan sebagai ketua pasukan Gergasi Merah setelah kecederaan menimpa kapten pertama mereka iaitu Brendan Gan.
Pemain berusia 27 tahun itu merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu menyertai Selangor pada 2015 sebelum diserap ke skuad utama pada 2017. Sehingga musim 2021, Syahmi telah melakukan lebih daripada 100 penampilan untuk Selangor.
3) Brendan Gan
Selepas empat musim bersama Selangor, pemain warisan Australia-Malaysia iaitu Brendan Gan mengucapkan selamat tinggal kepada Gergasi Merah dengan ia menjadi detik mengejutkan buat penyokong.
Masakan tidak, sikap kepimpinan Brendan yang membimbing pasukan serta segala usaha kerasnya dalam mempamerkan aksi cemerlang untuk Selangor bagi setiap perlawanan menjadi perkara kegemaran penyokong.
Pemain yang pernah diuji dengan kecederaan anterior cruciate ligament sebanyak dua kali dan kanser testis itu sudah membuat hampir 80 penampilan dan mencetak 14 gol serta 12 bantuan gol untuk Selangor FC.
Spekulasi mengenai masa depannya timbul apabila Brendan tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada tiga perlawanan terakhir Selangor di Liga Super 2023. Akhirnya, Selangor FC mengumumkan perpisahan dengan pemain itu.
Pada awal musim 2024/2025, Brendan menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC dengan dia masih menjadi tonggak tengah utama meskipun usianya sudah menjangkau 37 tahun. Jodohnya bersama Warga Kota tidak bertahan lama apabila baru-baru ini dia dilaporkan meninggalkan KL City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram