[VIDEO] Dari bangku simpanan kini ‘regular starter’ Liga M musim 2024


  • Podium
  • Khamis, 21 Nov 2024

Arribas menyertai JDT pada musim lalu daripada FC Cartagena.

TIDAK semua pemain mampu bangkit untuk merebut kesebelasan utama pasukan selepas sekian lama berada di bangku simpanan apatah lagi jika hanya menjadi pilihan kedua atau ketiga bagi bintang utama kelab itu.

Namun jika anda mempunyai semangat juang yang tinggi ia tidak mustahil untuk anda kembali merebut posisi utama pasukan seperti yang dilakukan oleh beberapa pemain muda musim ini.

Dengan ini Majoriti senaraikan tiga pemain berjaya merampas kembali tempat di dalam kesebelasan utama pasukan sekali gus menyingkir bintang utama kelab ke bangku simpanan.

BACA LAGI: 'Final Piala AFF perlu jadi sasaran utama', Irfan Bakti persoal mana striker tulen Harimau Malaya

BACA LAGI: [VIDEO] TMJ baik hati pinjamkan Syihan demi Malaysia, FAM wajar mohon 3 lagi bintang JDT demi trofi Piala AFF

1. Oscar Arribas (Johor Darul Ta'zim)

Awal musim ini, pemain kacukan Sepanyol-Filipina, Oscar Arribas dikhabarkan akan ditendang daripada barisan skuad Harimau Selatan susulan prestasi yang tidak begitu efektif tahun lalu.

Musim lalu, Arribas terpaksa berebut posisi bersama La'Vere Corbin-Ong untuk beraksi sebagai pertahanan kiri susulan itu dia kurang mendapat peluang untuk menunjukan bakatnya sebagai seorang alumni LaLiga 2 (Liga Sepanyol).

Namun musim ini Arribas berjaya menongkah arus apabila pemain berusia 26 tahun itu telah beraksi sebanyak 19 perlawanan bersama JDT dalam semua kejohanan tidak kira domestik mahupun antarabangsa.

Arribas juga berjaya menjaringkan gol menarik ketika berdepan Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada 5 November lalu.

Pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi sayap dan pertahanan itu juga berjaya menolak Matthew Davies dan Corbin-Ong untuk berada dalam kesebelasan utama JDT dalam saingan ACLE.

2. Ahmad Zikri Khalili (Selangor FC)

Keputusan pihak pengurusan Selangor FC untuk melantik pembantu jurulatih, Nidzam Jamil bagi menggantikan Tan Cheng Hoe bagai rahmat buat pemain muda Gergasi Merah, Ahmad Zikri Khalili musim ini.

Manakan tidak musim ini sahaja Zikri telah melepasi rekod penampilan tahun lalu bersama Selangor dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Mula menyertai Selangor sejak 2020, musim ini antara prestasi terbaik Zikri yang beraksi di pertahanan kiri pasukan sekali gus menolak Muhammad Fazly Mazlan ke bangku simpanan selepas sekian lama dia memegang posisi itu.

Musim ini Zikri telah tampil dalam 17 penampilan dan berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu Selangor menewaskan Kuching City FC dalam kejohanan Piala FA 2024.

3. Syed Muhammad Nasrulhaq (Terengganu FC)

Pernah menjadi penjaga gol ketiga Terengganu FC, Syed Muhammad Nasrulhaq musim ini bangkit mendaki untuk merebut kesebelasan utama pasukan sekali gus menolak pemain seperti Rahadiazli Rahalim dan Suhaimi Husin.

Lapan penampilan bersama Terengganu membuktikan hasil usaha Nasrulhaq tidak sia-sia apabila berjaya menjadi penjaga gol utama pasukan.

Namun ketika ini, kedudukan Nasrulhaq sebagai penjaga gol utama sedikit tergugat selepas Rahadiazli sudah kembali daripada kecederaan apabila dia tidak digunakan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram