
SKUAD Harimau Muda bermula dengan langkah kiri dalam saingan Piala Mandiri Bawah-23 Asean 2025 apabila tewas mengejut 0-2 kepada Filipina dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Selasa.
Skuad muda kebangsaan yang dikendalikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dikejutkan dengan dua jaringan pemain muda sensasi Filipina, Otu Abang Banatao, masing-masing pada minit ke-13 dan m-42.
Penyerang berusia 18 tahun itu mengambil kesempatan ke atas kealpaan benteng pertahanan Malaysia walaupun pasukan tanah air menguasai sebahagian besar permainan.
Ubaidullah (tengah) bertekad menebus kekalahan dengan meraih kemenangan ke atas Brunei dan Indonesia. — Facebook/Malaysia NT
Dalam aksi tersebut, Malaysia mencatat 72 peratus penguasaan bola dan melakukan 21 percubaan ke arah gol, namun tumpul di depan pintu gol serta kesilapan pertahanan memakan diri.
Kapten pasukan merangkap pertahanan tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili, tidak berselindung dalam menilai persembahan rakan sepasukan.
“Kami terlalu cuai ketika menyerang dan abaikan struktur pertahanan. Filipina bijak mengambil peluang.
“Ini pengajaran buat semua, termasuk saya sendiri. Kami akan memperbaiki segala kelemahan menjelang aksi seterusnya," katanya.
Kekalahan itu meletakkan Harimau Muda dalam situasi sukar, memandangkan hanya juara kumpulan layak ke separuh akhir.
Malaysia kini wajib menewaskan Brunei pada 18 Julai dan tuan rumah Indonesia pada 21 Julai untuk menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.
Meskipun berdepan laluan getir, pertahanan tengah Harimau Muda itu tetap positif dan bersemangat.
“Ya, laluan kami jadi lebih sukar sekarang. Tapi selagi ada peluang, kami akan terus berjuang. Dua kemenangan kini menjadi misi utama kami,” tegasnya.
Harimau Muda bakal kembali beraksi menentang Brunei dalam perlawanan kedua kumpulan yang dianggap ‘hidup mati’ buat skuad muda kebangsaan. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram