
SELEPAS menyepi beberapa minggu memasuki jendela perpindahan, Melaka FC akhirnya mengumumkan kehadiran beberapa pemain baharu bagi kempen akan datang.
Juara Liga A1 Semi Pro 2024/25 itu sebelum ini menyatakan tonggak seperti Nasir Basharudin dan Abdul Azim Rahim akan dikekalan selepas memainkan peranan penting sepanjang di kelab tersebut.
Namun, bagi memastikan kualiti pasukan terus dipertingkatkan dalam Liga Super 2025/26, skuad Hang Tuah mengalu-alukan kemasukan Irfan Zakaria dan Shahrel Fikri.
BACA LAGI: Melaka hampir dapat rekrut pertama, anak didik Devan di NSFC jadi pilihan
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
Irfan Zakaria (kiri) dan Shahrel Fikri menjadi rekrut terbaik buat skuad Hang Tuah musim depan. — Facebook/Melaka FC
Kedua-dua pemain tersebut sememangnya cukup berpengalaman apabila beraksi dalam divisyen teratas bola sepak negara musim lalu dengan Irfan bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC sementara Shahrel Fikri muncul tonggak PDRM FC.
Lebih menarik lagi, dua rekrut Melaka FC itu pernah beraksi bersama Harimau Malaya sebelum ini, namun masih memilih untuk menyertai pendatang baharu Liga Super.
Bagaimanapun, Shahrel Fikri yang turut dikenali sebagai Eky bukanlah bintang skuad kebangsaan yang pertama berbuat demikian kerana tiga lagi pemain lain pernah mengambil keputusan sedemikian.
1. Razman Roslan (Pahang, 2013)
Sehingga hari ini, nama Razman Roslan sebagai antara bek tengah terbaik negara sukar dilupakan peminat selepas pemain itu pernah mewarnai beberapa kelab tempatan.
Pasukan utamanya sudah tentu skuad Gergasi Merah memandangkan dia merupakan anak kelahiran Kajang, Selangor dengan pasukan Lembah Klang tersebut merupakan kelab pertamanya.
Namun, Razman juga pernah menikmati tempoh cemerlang bersama Pahang FA apabila dia menyertai kelab tersebut pada 2013 iaitu selepas mereka baru sahaja menjuarai Liga Perdana.
Pengalaman Razman dicurahkan bagi membantu skuad Tok Gajah yang baru sahaja naik pangkat.
Meskipun skuad Tok Gajah beraksi dalam divisyen kedua, mereka memiliki lambakan pemain berkualiti seperti Azimuddin Akil di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Datuk Dollah Salleh.
Jadi, kehadiran Razman hanya melengkapkan pasukan yang berjaya menjuarai Piala FA menerusi keputusan mengagumkan dalam pentas akhir ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bek tengah itu kemudiannya kekal bersama Pahang selama dua musim sebelum kembali ke pangkuan Selangor dan akhirnya menamatkan karier bersama Melaka United pada 2021.
2. Akmal Rizal (Sarawak, 2014)
Nama Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak lagi asing dalam dunia bola sepak negara apabila dia menjadi antara pemain moden terawal yang beraksi di Eropah.
Bagaimanapun, isu kecederaan menyaksikan penyerang tersebut gagal menempa reputasi di benua tersebut yang kemudian memaksanya mencari rezeki di tanah air sendiri.
Tetapi, ramai seperti melupakan bahawa anak jati Jitra, Kedah itu pernah beraksi buat Sarawak FA ketika kelab berkenaan baru sahaja kembali ke divisyen teratas bola sepak tempatan pada 2014.
Akmal Rizal hadir menyertai skuad Ngap Sayot pada penghujung kariernya.
Akmal Rizal yang mempunyai 22 penampilan Harimau Malaya menyertai skuad Ngap Sayot setelah meninggalkan negeri kelahirannya dengan perpindahan itu dibuat pada penghujung kariernya.
Namun, dengan usianya ketika itu sudah semakin meningkat, pemain berkenaan gagal memberi impak terbaik dengan pasukan itu hanya menduduki tangga ketujuh Liga Super.
3. Ahmad Fakri Saarani (Kedah, 2016)
Meskipun kerap kali menjadi bahan jenaka peminat bola sepak tempatan, Ahmad Fakri Saarani sememangnya memiliki karier cukup baik berdasarkan jumlah trofi dijulang sepanjang kariernya.
Kejayaan itu pertama kali dikecapi semasa dia beraksi di negeri sendiri, Kelantan walaupun dia tidak sempat berada dalam pasukan yang merangkul gelaran treble pada 2012.
Bagaimanapun, sepanjang dua musim di Pantai Timur, pemain tengah tersebut sempat menjulang Piala FA 2013 di samping melangkah ke dua perlawanan akhir yang menyaksikannya berputih mata.
Fakri (kiri) menyertai skuad Sang Kenari selepas dua musim beraksi di laman sendiri. — Facebook/Kedah FA
Tempoh dihabiskan bersama skuad The Red Warriors (TRW) juga cukup bermakna kerana Fakri sempat dipanggil ke dalam skuad kebangsaan beberapa kali dengan dua gol pasukan senior dijaringkan.
Selepas berkhidmat di negeri sendiri, pemain berkenaan kemudiannya berkelana dan menyertai Kedah FA pada 2015 selepas kelab itu menjuarai Liga Perdana musim sebelumnya.
Langkah diambil itu jelas membuahkan hasil kerana Fakri sempat menjulang tiga lagi trofi bersama skuad Sang Kenari, termasuk kejayaan menamatkan dominasi JDT dalam Piala Sumbangsih 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram