
BERITA baik terus diterima Kuala Lumpur (KL) City FC apabila pada Sabtu, mereka menerima suntikan dana bernilai RM1 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelaburan itu diterima dalam sebuah majlis di ibu kota yang menyaksikan bantuan kewangan berkenaan bakal diguna pakai kelab Lembah Klang tersebut berdasarkan keperluan.
Ini merupakan satu perkhabaran cukup menggembirakan buat skuad Warga Kota yang sebelum ini diperkuatkan dengan kehadiran beberapa bintang tempatan seperti Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba.
BACA LAGI: [VIDEO] Mat Don semakin gembira, watak penting Jerman belasah United Kingdom 10-1
BACA LAGI: ‘Ketepikan perbezaan demi selamatkan bola sepak Kedah’
Suntikan dana disalurkan Anwar buat skuad Warga Kota diharapkan mampu membawa hasil. — Facebook/KLFA
Malah, secara tidak langsung, bantuan tersebut menyaksikan Anwar menjadi figura politik terbaru menceburkan diri dalam arena bola sepak tanah air dengan suntikan berkenaan diharapkan mampu mengubah KL City FC.
Penglibatan individu berpengaruh dalam sukan terbabit bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak bertahun-tahun lamanya, sudah ramai yang pernah terlibat secara langsung.
Jadi, sekiranya skuad Warga Kota meraih sukses bagi saingan Liga Super 2025/26, Anwar akan mengikuti jejak tiga figura politik yang menikmati kejayaan bersama pasukan masing-masing.
1. Datuk Seri Shahidan Kassim
Ketika ini, nama Perlis dalam kancah bola sepak tempatan tidak lagi digeruni kerana kemelut pengurusan menyaksikan kelab dari negeri itu 'hilang' dari radar sejak kali terakhir bersaing dalam Liga Super pada 2011.
Meskipun terdapat ura-ura untuk menghidupkan skuad Singa Utara kira-kira dua tahun lalu, sebarang usaha diambil tidak membuahkan hasil memandangkan tiada figura berpengaruh mempunyai kuasa sedemikian.
Tetapi, sekiranya dilihat secara mendalam mengenai sejarah di negeri tersebut, peminat sudah tentu menyedari kemegahan Perlis FA pada pertengahan 2000-an yang menyaksikan beberapa trofi berada dalam dakapan mereka.
Sumbangan dibawa Shahidan (dua dari kiri) dalam arena bola sepak Perlis tidak boleh dipandang kecil.
Kejayaan pasukan berkenaan boleh dikatakan berpunca daripada pengaruh Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim selama lebih sedekad bermula 1998.
Ini kerana skuad Sang Saka Biru menjulang dua gelaran Piala Malaysia serta menjuarai Liga Super 2005 dengan nama-nama besar seperti Adrien Jurad Chamrong, Zachariah Simukonda dan Azizi Mat Rose berada dalam pasukan.
Bagaimanapun, seperti mana pernah dialami kelab-kelab tempatan, kemegahan skuad Singa Utara pudar selepas mengalami isu kewangan sebelum akhirnya dibubarkan 2019 akibat hukuman FIFA.
2. Tan Sri Annuar Musa
Sekiranya ditanya peminat bola sepak Kelantan, individu utama di sebalik kemegahan skuad The Red Warriors (TRW) adalah semasa Tan Sri Annuar Musa menjadi presiden badan induk di negeri terbabit.
Beliau pertama kali menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada 2009 dengan pelbagai perubahan awal dibuat, termasuk menyambar pemain lokal berkualiti bagi memperkuatkan pasukan.
Hasil daripada kehadirannya menyaksikan kelab Pantai Timur itu meraih gelaran treble pada 2012 dengan pencapaian berkenaan sememangnya sukar untuk diulangi hari ini.
Annuar Musa (tengah) menjadi watak utama di sebalik zaman kegemilangan skuad TRW.
Selepas hampir tujuh tahun memegang jawatan berkenaan, Annuar Musa akhirnya melepaskan pengaruhnya dalam Kafa yang juga menjadi titik permulaan kepada kejatuhan bola sepak Kelantan.
Ini kerana setiap figura yang hadir menjadi presiden gagal menstabilkan tampuk pengurusan sebelum skuad TRW akhirnya terkubur pada 2023 di bawah pengurusan usahawan ternama, Norizam Tukiman.
Tetapi, Annuar seperti kembali berminat untuk terlibat dalam menghidupkan arena bola sepak di negeri berkenaan apabila kerap berkongsi perkembangan Kelantan The Real Warriors yang musim lalu dikenali sebagai Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
3. Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Meskipun arena bola sepak Kedah hari ini cukup sinonim dengan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, peminat bola sepak di negeri berkenaan sudah tentu sukar melupakan impak pernah dibawa Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebanyak dua kali dengan kedua-duanya hadir semasa bergelar Menteri Besar di negeri Utara tanah air itu.
Mukhir menerajui KFA sebanyak dua kali dengan pelbagai kejayaan pernah dikecapi.
Semasa kali pertama menerajui badan induk terbabit, Mukhriz melakukan perubahan yang membantu skuad Lang Merah muncul juara Liga Perdana 2015 sebelum digantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah pada Februari tahun berikutnya.
Pada kali kedua berada dalam KFA, beliau sekali lagi membuat perubahan yang turut menyaksikan pasukan itu digeruni, termasuk ketika mereka muncul juara Piala FA 2019.
Selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar Kedah, Mukhriz tidak lagi terlibat dalam arena bola sepak di negeri terbabit dengan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada presiden semasa, Sanusi yang berusaha menghidupkan semula era kegemilangan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram