[VIDEO] JDT, KL City nyaris jadi mangsa amukan Buriram tapi Sabah, Kelantan lebih bernasib malang


  • Podium
  • Selasa, 15 Jul 2025

Sabah FC terpaksa menelan pahit apabila tewas 2-8 di tangan Buriram United dalam perlawanan Piala Sumbangsih Asean pada Ahad. — Facebook/Sabahfc

BURIRAM United FC sekali lagi membuktikan status mereka sebagai gergasi bola sepak Asia Tenggara apabila tidak menunjukkan belas kasihan terhadap kelab-kelab dari Malaysia dalam aksi persahabatan dan pertandingan serantau.

Juara bertahan Liga 1 Thailand itu bukan calang-calang pasukan. Sehingga musim 2024/2025, Buriram telah merangkul gelaran liga sebanyak 11 kali termasuk musim 2008 ketika masih dikenali sebagai PEA FC, serta musim 2011, 2013, 2014, 2015, 2017, 2018, 2021/2022, 2022/2023, 2023/2024 dan terkini 2024/2025.

Rekod cemerlang itu menjadikan skuad kendalian Osmar Loss Vieira digeruni bukan sahaja di Thailand, tetapi juga di pentas serantau.

BACA LAGI: Tiada aksi Piala Shopee, Sabah FC miliki peluang uji taring lawan Buriram United

BACA LAGI: Pernah dibuat Ubai musim lalu, tak mustahil rekrut curi tempat otai TFC

Kelab-kelab dari Malaysia turut merasai kehebatan Thunder Castle, apabila jarang sekali mampu mencabar, apatah lagi menewaskan mereka.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan empat kelab Liga Super yang pernah bergelut ketika berdepan Buriram United, membuktikan betapa sukarnya untuk sekadar mencatat keputusan seri, apatah lagi untuk mencipta kemenangan ke atas jaguh Thailand itu.

1) Johor Darul Ta'zim-Kuala Lumpur City FC

Dua wakil terkuat Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City), masing-masing terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 kepada gergasi bola sepak Thailand tersebut.

Meskipun tewas, kedua-dua kelab tanah air itu berjaya memberikan tentangan sengit kepada juara bertahan Liga 1 Thailand, sekali gus mengekalkan maruah tanpa kekalahan besar di tangan Thunder Castle.

KL City terlebih dahulu merasai kekuatan Buriram apabila tewas 0-1 menerusi jaringan tunggal Lucas Crispim dalam aksi peringkat kumpulan Piala Shopee 2024 pada awal Februari lalu.

Kekalahan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Chang Arena, Bangkok itu menyaksikan skuad Warga Kota tersebut gagal mara ke separuh akhir kejohanan.

Sementara itu, nasib serupa menimpa Harimau Selatan apabila mereka disingkirkan Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Selepas seri 0-0 di gelanggang lawan pada 4 Mac, JDT gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tunduk 0-1 pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 11 Mac lalu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Suphanat Mueanta yang tidak dikawal rapi oleh pertahanan JDT, sebelum melepaskan rembatan lencong ke penjuru kanan gawang untuk menewaskan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.

Jaringan itu disaksikan lebih 35,000 penyokong setia tuan rumah yang terpaksa menerima kekecewaan di gelanggang sendiri.

Walaupun gagal melangkah lebih jauh, kedua-dua kelab Malaysia itu menunjukkan prestasi membanggakan dengan hanya tewas tipis kepada salah satu pasukan paling dominan di rantau ini.

2) Sabah FC

Sabah FC mengalami kekalahan memalukan 2-8 kepada Buriram United dalam aksi persahabatan Piala Sumbangsih Asean di Stadium Rainbow, Pattani pada Ahad.

Buriram mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi dua gol Supachai Chaided (minit ke-3 dan 26) serta jaringan Fejsal Mulic (m-39). Guillerme Bissoli menambah gol keempat sebelum Sabah merapatkan kedudukan melalui Stuart Wilkin dan Azhad Harraz Arman.

Namun, Nemanja Nikolic meledak hatrik sebelum Kenneth Douglas menoktahkan kemenangan besar 8-2 untuk tuan rumah.

Kekalahan itu merupakan yang terbesar buat Sabah FC dalam perlawanan tidak rasmi. Walaupun menamatkan musim lalu di tempat ketiga Liga Super, skuad The Rhinos jelas tidak mampu menandingi kekuatan Buriram United.

3) Kelantan FC

Kelantan FC pernah mengalami kekalahan besar 0-7 di tangan Buriram United dalam aksi pemanas badan sempena Piala Sumbangsih Asean 2023 di Songkhla, Thailand.

Ketika itu, skuad The Red Warriors (TRW) dibimbing jurulatih Korea Selatan, Choi Moon Sik gagal memberi saingan apabila jarang mencipta peluang berbahaya.

Buriram membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi Suphanat Mueanta, diikuti gol kedua oleh Jonathan Bolingi dan gol ketiga oleh Supachai Jaided pada minit ke-17. Suphanat kemudian menambah satu lagi gol dengan rembatan voli menjadikan kedudukan 4-0.

Haris Vuckic menjaringkan gol kelima, disusuli Goran Causic yang meledak dari luar kotak penalti untuk gol keenam. Narubadin menutup malam gemilang Buriram dengan tandukan pada minit ke-89.

Kekalahan itu kekal antara keputusan paling memalukan buat Kelantan FC dalam perlawanan persahabatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram