'Kita bincang anak beranak', Annuar Musa enggan terburu-buru terima jawatan Presiden Kelantan The Real Warriors


  • Podium
  • Isnin, 14 Jul 2025

Pengaruh Tan Sri Annuar Musa dalam landskap bola sepak di Kelantan masih dirasakan dan rata-rata peminat di negeri tersebut masih mengharapkan sentuhannya.

TAN SRI Annuar Musa dilihat semakin hampir untuk kembali aktif dalam arena bola sepak tanah air selepas menerima tawaran rasmi bagi menggalas jawatan Presiden Kelantan The Real Warriors pada minggu lalu.

Annuar memiliki pengalaman yang cukup luas dalam pentadbiran bola sepak tanah air. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan juga Presiden Kelantan The Red Warriors, pasukan yang pernah menjuarai treble bagi musim 2012.

Selain itu, Annuar turut berkhidmat sebagai Pengerusi Kuala Lumpur City FC (KL City) yang berjaya merangkul Piala Malaysia 2021.

BACA LAGI: Jang Hobin tak main-main, Luqman Hakim antara 3 bintang menyerlah lepas calar ego Kelantan RW

BACA LAGI: Selangor kecewa lagi di Thailand, penalti ex-striker TFC titik kebangkitan Chonburi

Namun, buat masa ini beliau masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran sebagai Presiden Kelantan The Real Warriors (sebelum ini dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC).

“Minggu lepas saya diberikan tawaran secara rasmi untuk menggalas jawatan sebagai Presiden kelab.

"Saya pernah menggalas tugas Presiden KAFA dengan pasukan Liga Super, The Red Warriors (TRW) yang menjuarai treble dan Presiden kelab Liga Super KL City yang menjuarai Piala Malaysia. Banyak suka dukanya,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook pada Isnin.

Annuar turut menjelaskan bahawa sebelum membuat keputusan, beliau perlu bertemu dengan pemegang saham dan pengurusan kelab untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai beberapa perkara penting dan dasar pengurusan kelab.

“Kali ini saya berfikir panjang. Justeru sebelum saya secara rasmi menjawab menerima atau menolak, saya mohon untuk bertemu dulu dengan pemegang saham dan pengurusan kelab esok di Kota Bharu, Kelantan. Saya perlu mendapat gambaran lebih jelas beberapa perkara pokok dan dasar,” katanya.

Sekiranya tidak menerima tawaran tersebut, Annuar tetap berikrar akan terus membantu pasukan-pasukan dari Kelantan yang beraksi di Liga Semi-Pro A1, Liga A2 mahupun Liga Super.

“Cabaran kali ini jauh lebih berat daripada sebelumnya. Saya amat bersimpati dengan semua pihak yang sanggup berusaha dan bersusah payah demi Kelantan.

“Insya-ALLAH esok (Selasa) saya akan pulang ke Kelantan dan kita akan berbincang secara anak beranak,” ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram