Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Ramai pemain JDT dijangka dipinjamkan ke kelab lain musim depan bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan. — Facebook/JST

SAINGAN Liga Super musim 2025/2026 dijangka bertambah menarik dengan penyertaan dua pasukan baharu, Melaka FC dan Imigresen FC yang kini dalam proses memohon Lesen Kebangsaan untuk layak bersaing di pentas tertinggi bola sepak negara.

Kedua-dua pasukan yang merupakan wakil dari Liga A1 Semi-Pro diyakini mampu membawa nafas baharu serta mencetuskan kejutan dalam saingan musim depan, sekali gus menambah warna dalam kancah bola sepak tanah air.

Walaupun keputusan rasmi daripada Jawatankuasa First Instance Body (FIB) masih belum diumumkan, langkah agresif Melaka FC dalam merekrut beberapa pemain baharu memberi petunjuk jelas bahawa mereka serius dalam persiapan untuk bersaing di Liga Super.

BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC

BACA LAGI: Dari padang bola ke kandang lembu, bek kanan JDT selesa ceburi bidang penternakan

Juara Liga A1 Semi Pro 2024, Melaka FC sedang merancang untuk memperkukuh skuad mereka dengan menyasarkan tiga pemain berpengalaman. — Facebook

Difahamkan, Melaka FC dijangka membawa masuk beberapa pemain dari juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan skuad mereka.

Spekulasi mengenai penghijrahan pemain JDT mula tersebar di media sosial dan tidak mustahil beberapa pemain utama akan meninggalkan skuad Harimau Selatan. Ini selaras dengan hakikat bahawa Harimau Selatan memiliki skuad yang penuh dengan pemain bintang berkualiti tinggi.

Malah, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan sebelum ini seramai 12 pemain JDT pernah dipinjamkan ke kelab lain, antaranya Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid dan Manuel Hidalgo.

Terkini, timbul khabar angin bahawa kapten Terengganu FC, Safawi Rasid yang kini tamat tempoh pinjaman bersama skuad Peteh bakal menyertai Negeri Sembilan FC.

Oleh itu, tiga pemain JDT juga dikatakan akan memperkuatkan skuad Melaka FC musim depan, sekali gus menambah lagi kehangatan jendela perpindahan kali ini.

1. Gabriel Nistelrooy Tamin 

Penjaring terbanyak Piala MFL 2024/2025, Gabriel Nistelrooy Tamin dilihat sebagai prospek hangat yang wajar dipertimbangkan oleh kelab-kelab Liga Super bagi memperkukuh jentera serangan masing-masing.

Pemain berusia 25 tahun kelahiran Sarawak itu telah membuktikan keupayaannya sebagai penyerang tempatan yang berkualiti apabila menamatkan kempen Piala MFL di kedudukan teratas senarai penjaring.

Namun, dengan pembubaran rasmi Piala MFL, masa depan Nistelrooy bersama JDT kini menjadi persoalan, memandangkan dia perlu bersaing dengan penyerang prolifik, Bergson da Silva untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Andai kekal di JDT, Nistelrooy perlu bersaing dengan import berbisa Brazil, Bergson (dua kanan) bagi merebut posisi utama di jentera serangan. — Facebook/JST

Situasi itu menjadikan perpindahan ke pasukan lain sebagai pilihan terbaik buat Nistelrooy untuk terus mendapat minit permainan serta mengekalkan ketajamannya di depan gol.

Melaka FC dilihat sebagai destinasi ideal untuk dia mengembangkan karier, memandangkan pasukan itu sedang giat memperkuatkan skuad bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Kehadiran Nistelrooy dijangka mampu menjadi watak penting dalam usaha Melaka mencipta impak dalam saingan liga.

2. Mohamadou Sumareh

Hanya membuat 13 penampilan musim lalu, jumlah itu jelas bukan sesuatu yang membanggakan bagi seorang penyerang, apatah lagi bagi pemain naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh.

Ketajaman Sumareh atau lebih dikenali sebagai Keliboy itu kini menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, terutama selepas hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam saingan liga domestik musim 2024/25.

Sumareh (tengah) disarankan menyertai kelab lain secara pinjaman sekiranya mahu mengembalikan ketajamannya di posisi serangan. — Facebook/JST

Kekurangan minit permainan dipercayai menjadi faktor utama prestasinya yang tidak konsisten dan atas sebab itu, peminjaman ke kelab lain dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengembalikan semula sentuhan berbisanya.

Melaka FC muncul antara destinasi yang dilihat sesuai untuk Sumareh, memandangkan kelab itu sedang dalam proses membina skuad kompetitif bagi menghadapi Liga Super musim depan, sekali gus menawarkan peluang lebih besar buat pemain itu mendapatkan aksi secara tetap.

3. Farizal Marlias

Diiktiraf sebagai antara penjaga gol terbaik Malaysia dalam era moden, Farizal Marlias telah mencipta reputasi cemerlang di mana sahaja dia beraksi sama ada bersama Perlis, Selangor FC, Negeri Sembilan atau yang paling diingati, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bersama Harimau Selatan, Farizal memainkan peranan penting dalam era keemasan kelab tersebut, membantu meraih pelbagai gelaran termasuk Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia serta kejayaan bersejarah menjuarai Piala AFC pada 2015.

Namun, selepas bertahun menjadi watak utama, kini tiba masanya untuk Farizal mempertimbangkan cabaran baharu demi memastikan kariernya terus relevan.

Penjaga gol muda JDT, Christian Abad, kini menjadi pesaing utama Farizal Marlias untuk mengisi posisi sebagai benteng terakhir pasukan. — Facebook/JST

Persaingan sengit di posisi penjaga gol JDT, khususnya dengan kehadiran penjaga gol kebangsaan Ahmad Syihan Hazmi dan pemain baharu Christian Abad Amat, menyaksikan Farizal lebih banyak memanaskan bangku simpanan sepanjang musim 2024/2025.

Situasi itu mewajarkan langkah peminjaman bagi mendapatkan semula minit permainan dan Melaka FC dilihat sebagai destinasi paling sesuai.

Dengan kelab itu sedang memperkukuh skuad menjelang musim Liga Super 2025/2026, pengalaman Farizal pastinya menjadi aset penting kepada Melaka, sambil memberi peluang kepadanya untuk kembali beraksi secara konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram