‘Koyak’ di Thailand, 3 import baharu boleh isi 2 komponen lemah The Rhinos lagi-lagi bahagian tengah


  • Podium
  • Rabu, 16 Jul 2025

Sabah FC terpaksa menelan pahit apabila tewas 2-8 di tangan Buriram United dalam perlawanan Piala Sumbangsih Asean pada Ahad. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC dikejutkan dengan kekalahan besar 2-8 di tangan juara Liga 1 Thailand, Buriram United dalam aksi persahabatan pramusim Piala Sumbangsih Asean yang berlangsung di Stadium Rainbow, Pattani pada Ahad.

Kekalahan memalukan itu sekali lagi membongkar kelemahan ketara pasukan Sang Badak, terutama di bahagian pertahanan yang nyata terlalu rapuh untuk mengekang asakan lawan.

Malah, isu benteng longgar bukanlah perkara baharu buat skuad Sang Badak yang turut bergelut dengan masalah sama sejak musim lalu. 

BACA LAGI : Rebah 2 kali di bumi Thailand, Katsuhito Kinoshi perlu segera cari pengganti Orozco, Safuwan

BACA LAGI : Dari Lembah Klang ke Borneo, kredibiliti, bintang 3 kelab jadi pencabar terkuat JDT musim depan

Statistik bolos yang tinggi di penghujung musim 2024 turut diakui pengurusan sebagai titik lemah yang perlu diberi perhatian serius.

Melihat kepada prestasi semasa, skuad kendalian Martin Stano itu perlu memanfaatkan baki saingan pramusim untuk membina semula struktur pertahanan yang lebih kukuh dan konsisten menjelang sepak mula Liga Super Malaysia tidak lama lagi.

Sebagai langkah pembaikan, beberapa pemain berpengalaman yang masih berstatus ejen bebas dilihat sebagai pilihan ideal untuk memperkuatkan pasukan Negeri di Bawah Bayu itu:

1. Jorge Obregon

Obregon merekodkan 22 penampilan bersama JDT musim lalu. — Gambar/Facebook Johor Southern Tigers

Jorge Obregon menyertai Johor Darul Takzim (JDT) pada Ogos tahun 2024 dalam usaha skuad Harimau Selatan untuk menambah sengat di jentera serangan bagi menghadapi baki aksi musim lalu.

Bekas penyerang JDT ini mempunyai rekod baik dalam saingan Liga Malaysia dan boleh menjadi aset berharga untuk Sabah FC dalam memperkukuh jentera serangan yang dilihat kurang taring.

Obregon yang pernah mewakili Colombia B-20 tahun telah merekodkan 22 penampilan bersama JDT musim lalu serta berjaya mencipta 7 gol dan dua bantuan jaringan.

Sehingga kini, masih belum ada pengesahan rasmi dari pihak JDT mengenai masa hadapan Obregon ketika pasukan Harimau Selatan itu sudah pun melepaskan 11 orang pemain sebelum ini.

2. Ataa Jaber

Pemain tengah kreatif seperti Ataa yang pandai menggerakkan bola dan mencipta peluang dapat memperbaiki serangan Sabah FC. — Agensi 

Ataa Jaber mrupakan pemain tengah bertahan yang pernah beraksi bersama Qatar SC dan mempunyai 271 penampilan dalam pelbagai liga termasuk Israel dan Azerbaijan. 

Ataa juga merupakan pemain kebangsaan Palestin, menjadikannya calon sesuai untuk memperkemas bahagian tengah dan membantu menapis tekanan ke atas pertahanan.

Pada masa sama, pemain tengah kreatif seperti Ataa yang pandai menggerakkan bola dan mencipta peluang dapat memperbaiki serangan Sabah FC. 

Kelebihan itu sekali gus menambah variasi dalam cara skuad Sang Badak membina serangan serta meningkatkan keupayaan jaringan gol pasukan.

Pemain berusia 30 tahun itu yang beraksi di posisi tengah merekodkan 271 penampilan dan 22 jaringan serta 23  bantuan jaringan sepanjang kariernya.

3. Thom Haye

Thom juga boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan atau pemain tengah box-to-box. — Agensi 

Thom Haye memiliki pengalaman luas beraksi di Eropah sebelum menyertai pasukan-pasukan di Asia Tenggara.

Kehadirannya dilihat mampu memperkukuh jentera tengah skuad Sang Badak yang dilihat agak longgar dalam aksi pramusim baru-baru ini.

Pemain berketinggian 1.87 meter itu juga pernah mewakili skuad kebangsaan Indonesia. 

Pada masa sama, Thom juga boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan atau pemain tengah box-to-box, memberikan jurulatih Sabah FC lebih banyak pilihan taktikal.

Sepanjang kariernya, Thom merekodkan 409 penampilan dan 35 jaringan serta 49 bantuan jaringan setakat ini.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram