
SELEPAS dua musim sepi dari divisyen teratas bola sepak tempatan, Melaka FC akhirnya sah menyertai Liga Super 2025/26 seperti diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis, First Instance Body (FIB) organisasi itu berkata, skuad Hang Tuah serta Imigresen FC merupakan dua kelab Liga A1 Semi Pro musim lalu yang memperolehi lesen kebangsaan.
Ini selepas kedua-dua pasukan terbabit berada di kedudukan dua teratas pertandingan peringkat semi-pro itu dengan Melaka FC tampil bergelar juara dalam kempen kedua mereka.
BACA LAGI: 'Gawang mudah bolos', K Devan mahu perbaiki kelemahan kejar impian NSFC
BACA LAGI: Tolak tawaran kelab lain, K. Devan kekal terajui NSFC
Skuad Hang Tuah menjuarai Liga A1 Semi Pro musim lalu. — Facebook/Melaka FC
Jadi, dalam usaha mempersiapkan skuad terbaik, pihak pengurusan sudah tentu bersedia memenuhi permintaan ketua jurulatih, K Devan yang pasti mempunyai sasaran tersendiri.
Usaha itu seperti sudah bermula kerana baru-baru ini, Melaka FC dikatakan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain baharu seperti mana dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Fadhirul Shuhaimi.
"Difahamkan Melaka FC hampir pasti mendapatkan khidmat penyerang, Shahrel Fikri Md Fauzi bagi memperkuatkan pasukan harungi saingan Liga M 2025/2026.
"Musim lalu bersama PDRM FC, Eky telah tampil dalam 23 perlawanan dan mencetak empat gol di kempen Liga Super," tulisnya menerusi hantaran di laman X peribadinya.
Dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2024/25, skuad Hang Tuah menamatkan kempen dengan jumlah jaringan terbanyak dengan 81 gol yang membantu kelab tersebut berada di kedudukan teratas.
Shahrel Fikri (kanan) beraksi buat skuad Jang pada 2023 yang ketika itu dikendalikan K Devan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Catatan tersebut diperolehi kerana Melaka FC mempunyai khidmat penyerang berbisa, Azim Rahim yang meraih 22 jaringan sepanjang musim dengan ia menyaksikannya menamatkan kempen sebagai penjaring terbanyak.
Bagaimanapun, umum mengetahui bahawa Liga Super hadir dengan tahap kompetitif lebih tinggi dengan kelab tersebut memerlukan peledak lebih berpengalaman dalam divisyen teratas itu.
Shahrel Fikri juga sudah tentu terbuka dengan peluang perpindahan itu memandangkan dia sebelum ini pernah berada di bawah kendalian Devan semasa kedua-dua mereka berada di Negeri Sembilan FC.
Meskipun tidaklah berada di tahap terbaik, Eky ketika itu masih berjaya menjadi bintang utama pasukan dengan enam gol Liga Super dicatatkan daripada 16 penampilan buat skuad Jang.
Prestasi sebegitu sudah tentu diharapkan mampu diulangi memandangkan Devan mahu menjadikan Melaka FC kembali digeruni selepas bertahun-tahun bergelut dari segi pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram