
NEGERI Sembilan FC (NSFC) mempamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan Kelantan Red Warriors (Kelantan RW) dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lalu.
Kemenangan 2-0 itu bukan sahaja mencerminkan persiapan mantap skuad Hobin Jang Hobin tetapi juga menonjolkan potensi besar pemain-pemain muda yang baru diserap ke dalam pasukan.
Di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil, NSFC menunjukkan peningkatan ketara berbanding musim lalu.
BACA LAGI: Tiada aksi Piala Shopee, Sabah FC miliki peluang uji taring lawan Buriram United
Kehadiran penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin, bekas pemain Selangor FC, Khuzaimi Piee dan bekas sayap Kuala Lumpur City FC, Jovan Motika memberikan dimensi baru kepada pasukan.
Kemenangan itu memberikan gambaran positif tentang potensi NSFC untuk bersaing dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/26.
Dengan gabungan pemain muda berbakat dan pengalaman jurulatih berkaliber, NSFC dijangka menjadi pencabar serius musim depan.
1. Luqman Hakim Shamsudin
Luqman yang kembali ke tanah air selepas berkelana di Eropah dan Jepun menunjukkan kesungguhan tinggi dalam membantu pasukan meraih kemenangan.
Kepulangan bintang muda itu bukan sekadar menjadi penambahan kekuatan kepada barisan skuad Rusa, malah dilihat sebagai simbol kebangkitan serta inspirasi buat seluruh penyokong Hobin Jang Hobin.
Luqman yang merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum ini merupakan penjaring gol terbanyak AFC U-16 pada 2018 dan pernah disenaraikan antara 60 bakat muda terbaik dunia oleh The Guardian.
Meskipun tidak mencetak gol namun hantaran bantuan yang dihasilkan oleh Luqman (dua kiri) cukup meraih pujian penyokong. — Facebook/NSFC
Di bawah kendalian Nidzam Jamil, Luqman dijangka dapat menyuntik nafas baharu, membangkitkan semangat pemain tempatan dan penyokong.
Walaupun belum mencetak gol dalam aksi persahabatan tersebut kehadiran Luqman sudah cukup membuktikan bahawa wajah NSFC kini lebih berani, bermotivasi dan berwajah antarabangsa.
2. A. Selvan
Penyerang muda NSFC, A. Selvan menampilkan aksi cemerlang walaupun hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam aksi persahabatan pramusim di Cheras.
Beliau menunjukkan keserasian segera dengan rakan sepasukan seperti Khuzaimi Piee dan Takumi Sasaki, membuktikan naluri penyerang berbisa yang tinggi.
Selvan membuktikan kematangannya dengan menjaringkan gol pada minit ke-71, gol yang membantu memperkukuhkan kedudukan pasukannya dalam perlawanan tersebut.
A. Selvan mempamerkan kualiti sebagai seorang penyerang yang tajam. — Facebook/NSFC
Gol itu bukan sahaja memberikan kelebihan kepada The Jangs, malah menunjukkan beliau semakin yakin dalam peranannya.
Bersama penyerang sensasi kebangsaan, Luqman dan import Jepun, Takumi Sasaki gandingan di barisan serangan kini tampak lebih mantap.
3. Mio Tsuneyasu
NSFC mengambil langkah tepat apabila pengendali mereka, Nidzam Jamil menurunkan import Jepun, Mio Tsuneyasu dalam aksi persahabatan pramusim dan ianya membuahkan hasil.
Tsuneyasu yang berusia 23 tahun itu tiba melalui perpindahan pinjaman dari Gainare Tottori segera menunjukkan kebolehannya di atas padang.
Menariknya, gandingan bersama Jovan Motika berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Kelantan RW dengan mudah.
Import baharu skuad Jang, Mio Tsuneyasu menempah nama selaku penjaring buat NSFC (kiri). — Facebook/NSFC
Gol awal NSFC menjelaskan kehadiran Tsuneyasu bukan sekadar hiasan, pemain sayap bertinggi 165 meter itu menyempurnakan tandukan cemerlang hasil hantaran lintang dari Motika pada minit ke-32 dan menyaksikan jaringan pembukaan pasukan.
Dengan prestasi awal yang cukup meyakinkan, Tsuneyasu kini mencuri tumpuan peminat NSFC sebagai salah satu tonggak serangan yang akan diuji sepanjang musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram