
KETIKA ini, hampir semua pasukan Liga Super sedang sibuk mempersiapkan skuad dengan mengadakan aksi persahabatan kerana hanya sebulan berbaki sebelum saingan musim depan bermula.
Tumpuan sudah tentu diberikan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah berkelana ke Sepanyol dan berdepan beberapa kelab terkenal di Eropah seperti Cardiff City FC dan Valencia CF.
Namun, ramai juga tertarik akan perancangan naib juara musim lalu, Selangor FC yang hanya mengadakan sesi pramusim di Thailand dengan sebanyak lima perlawanan akan diadakan.
BACA LAGI: Trio The Rhinos sah tidak ke Thailand-Indonesia, top 3 Liga Super optimis dalam genggaman
BACA LAGI: Seorang lagi bintang tinggalkan Pahang, 'Abang Misai' tunggu masa ke Thailand
Skuad Gergasi Merah mengalami kekalahan dalam aksi pertama di Thailand pada Rabu. — Facebook/Selangor FC
Setakat ini, skuad Gergasi Merah sudah berdepan Ratchaburi FC yang sudah berakhir dengan kekalahan tipis 0-1 dialami kelab tempatan itu pada Rabu.
Meskipun gagal memulakan sesi pramusim dengan langkah kanan, pengalaman diraih di negara jiran pasti menghadiahkan pengalaman bermakna buat anak-anak buah Katsuhito Kinoshi.
Ini kerana pendekatan mengadakan perlawanan persahabatan di Thailand juga pernah diambil tiga kelab tempatan lain dengan tempoh dihabiskan di sana memberikan peluang pihak kejurulatihan menilai pasukan masing-masing.
1. JDT
Lama sebelum skuad Harimau Selatan cenderung mengadakan pramusim di Timur Tengah atau Sepanyol, mereka pernah mengambil langkah bersederhana dengan memilih Thailand sebagai destinasi.
Kali terakhir kelab Selatan tanah air itu berbuat demikian adalah pada 2019 dengan keputusan itu diambil bagi mewujudkan persefahaman lebih utuh dalam kalangan pemain.
Skuad Harimau Selatan mengadakan sesi pramusim di Thailand pada 2019 sebelum memilih untuk ke destinasi lebih menakjubkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Skuad Harimau Selatan memilih untuk berdepan tiga pasukan Thailand, iaitu Ratchaburi Mitr Phol, Bangkok United serta PTT Rayong dengan hanya satu kemenangan dicatatkan.
Pramusim sedemikian juga pernah dilakukan pada musim-musim sebelumnya, namun JDT memilih untuk berbelanja lebih besar bermula 2023 sebagai langkah mempersiapkan pasukan lebih baik untuk saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Meskipun terpaksa mengeluarkan kos menelan jutaan ringgit, keputusan tersebut jelas memberi impak buat skuad Harimau Selatan yang lebih baik di pentas Asia beberapa tahun kebelakangan ini.
2. Sri Pahang FC
Kelibat Sri Pahang FC sudah tentu akan dirindui dalam saingan bola sepak tempatan musim depan selepas isu pengurusan menyaksikan kelab tersebut tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan bagi kempen 2025/26.
Ini kerana semasa skuad Tok Gajah masih aktif, mereka tidak pernah lekang daripada menyajikan aksi cukup mendebarkan, termasuk ketika mereka mengadakan aksi pramusim di Thailand dua tahun lalu.
Skuad Tok Gajah berdepan tiga kelab Korea Selatan bagi tempoh pramusim 2023. — Facebook/Sri Pahang FC
Ketika itu, skuad kendalian Fandi Ahmad mahu mempersiapkan diri bagi musim 2023, sekali gus menyaksikan mereka menghabiskan masa 10 hari di Bangkok bagi menghadapi tiga perlawanan pemanas badan.
Menariknya, Sri Pahang FC tidak berdepan mana-mana pasukan dari Negara Gajah Putih itu, tetapi memilih untuk menguji pasukan sendiri dengan berdepan kelab Korea Selatan.
Kelab Pantai Timur tersebut berdepan FC Seoul dan Daegu FC yang beraksi dalam divisyen utama negara Asia Timur itu dengan FC Anyang yang berada dalam liga bawahan turut terpilih.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keputusan daripada semua perlawanan tersebut memandangkan skuad Tok Gajah berpandangan aksi tersebut hanya diadakan bagi menyajikan pengalaman bermakna.
3. Terengganu FC
Selain Sri Pahang FC, Terengganu FC turut memilih Thailand sebagai destinasi pramusim dengan dua daerah di negara terbabit menjadi lokasi perlawanan pasukan.
Ia dimulakan dengan tiga perlawanan di Thailand menentang dua kelab dari Liga 1 Thai sebelum menutup kisah di sana menentang pasukan Denmark, Odense Boldklub.
Selepas itu, skuad Sang Penyu menentang Chonburi FC yang mempunyai pasukan cukup dihormati dengan pengalaman diraih di sana memberi kelebihan besar buat kelab terbabit.
Sebanyak empat pasukan dihadapi skuad Sang Penyu ketika sesi pramusim di Thailand pada 2023. — Facebook/Terengganu FC
Ini kerana pada musim berkenaan, Terengganu FC mencipta kejutan apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, namun tidak berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan selepas tewas kepada JDT.
Tetapi, kos operasi yang terpaksa dilaburkan menyaksikan skuad Sang Penyu tidak lagi berbuat demikian dengan mereka memilih untuk hanya beraksi dalam negara bagi dua sesi pramusim seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram