
SETAKAT ini, hampir semua pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super 2025/26 masih belum mengadakan sebarang aksi pramusim dengan majoriti daripadanya belum memulakan sesi latihan.
Kelewatan sebegitu tidaklah dijangka memberi kesan terhadap persiapan pasukan kerana saingan hanya akan bermula pada pertengahan Ogos dengan masih ada masa lebih dari sebulan untuk menyediakan pasukan.
Bagaimanapun, berbeza buat Penang FC yang sudah mengadakan aksi persahabatan selepas melakukan rombakan besar-besaran bagi memberikan resipi terbaik buat Wan Rohaimi Wan Ismail.
BACA LAGI: Wan Rohaimi bangga peningkatan anak buah, mahu curi 3 mata di Temerloh
BACA LAGI: Misi 6 mata penting, Wan Rohaimi optimis Penang tamatkan saingan Liga Super di tangga ke-7
Tchetche Kipre merupakan antara import baharu diperkenalkan skuad Harimau Kumbang bagi kempen akan datang.
Setelah menyingkirkan kira-kira 15 pemain, skuad Harimau Kumbang membawa masuk wajah-wajah baharu seperti Wan Zack Haikal, Ariff Farhan Md Isa serta Khairulazhan Khalid.
Tidak cukup dengan itu, kelab Utara tanah air tersebut sempat memperkenalkan import, termasuk Stefano Brundo dan bintang dari Bosnia, Danilo Sipovac yang pastinya menjadikan kelab berkenaan menarik untuk ditonton.
Untuk memastikan persefahaman segera dibentuk, Penang FC pada Ahad lalu mengadakan aksi pramusim menentang kelab amatur, Bintong FC yang berakhir dengan kemenangan selesa buat skuad Harimau Kumbang.
Segala persiapan itu membuktikan pasukan bimbingan Wan Rohaimi itu mampu menjadi pencabar dengan bekas pengendalinya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli percaya sasaran kedudukan lima teratas boleh dicapai.
Akmal Rizal percaya kedudukan lima teratas cukup relevan buat skuad Harimau Kumbang dalam Liga Super 2025/26.
"Saya merasakan sasaran tempat kelima yang diinginkan jurulatih dan pihak pengurusan cukup relevan melihat kepada kemasukan pemain lokal berpengalaman dan import yang pernah beraksi dalam Liga Super sebelum ini.
"Penang perlu konsisten dalam setiap perlawanan jika ingin berada dalam kelompok lima terbaik. Ini kerana beberapa pasukan juga membuat persediaan cukup rapi dengan kemasukan pemain baharu berkualiti," katanya kepada Majoriti.
Kali terakhir skuad Harimau Kumbang berada dalam kedudukan memberangsangkan adalah pada 2021, iaitu semusim selepas menjuarai Liga Perdana dengan pencapaian itu kian sukar untuk dicapai.
Ini kerana pasukan Utara tanah air terbabit bergelut untuk mencari rentak, lebih-lebih lagi pada pertengahan musim meskipun tiada cabaran konsisten diberikan kelab lain.
Jumlah penonton di Stadium Bandaraya akan kekal jika skuad Harimau Kumbang terus konsisten di atas padang.
Situasi tersebut diharapkan mampu diubah pada kempen akan datang kerana Penang FC kelihatan lebih bersedia dengan setiap nama-nama baharu dibawa masuk mempunyai kelebihan tersendiri.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada skuad Harimau Kumbang mampu menarik sokongan penyokong sekitar Utara tanah air, Akmal Rizal percaya ketiadaan kelab lain dari rantau terbabit bukanlah penanda aras bagi kehadiran peminat ke stadium.
"Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sentiasa akan penuh jika pasukan dapat kekalkan momentum kemenangan tidak kiralah sekiranya kelab dari Kedah, Perak dan Perlis tidak berada dalam Liga Super sekali pun," katanya.
Penang FC merupakan satu-satunya wakil dari Utara tanah air musim depan selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC terhalang dari menyertai atas sebab isu pengurusan.
Harapan besar sudah tentu diletakkan peminat bola sepak tempatan terhadap skuad Harimau Kumbang dengan masing-masing akan melupakan perbezaan untuk terus menyaksikan saingan Liga Super di zon tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram