Mula tunjuk belang, import Terengganu antara 3 rekrut sudah ledak gol pertama


  • Podium
  • Khamis, 10 Jul 2025

Sang Penyu kini mempunyai penyerang berkualiti untuk menerajui jentera serangan bagi menghadapi musim hadapan. — Facebook/TFC

KEMUNCULAN awal tiga pemain import baharu dalam aksi pramusim bersama kelab masing-masing memberi gambaran jelas bahawa mereka bersedia menggalas peranan besar menjelang musim Liga Malaysia 2025/2026.

Malah, aksi pramusim yang berlangsung menjelang sepak mula musim depan mula memperlihatkan potensi sebenar barisan pemain import baharu yang direkrut oleh beberapa pasukan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penyerang Terengganu FC, Yann Mabella, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva serta bekas penggempur Kuala Lumpur City FC yang kini bersama Penang FC, Tchetche Kipre.

BACA LAGI: Disokong JDT sertai kelab Lembah Klang, Syamer Kutty sedia bertarung demi rebut tempat Harimau Malaya

BACA LAGI: Jangan tunggu lama-lama, 3 khabar angin termasuk Syafiq Ahmad masih belum dimuktamadkan

Menariknya, ketiga-tiga pemain tersebut telah membuka akaun jaringan masing-masing menerusi perlawanan pemanas badan bersama kelab baharu mereka.

Ia merupakan satu petanda awal ketajaman yang mampu memberi impak besar kepada pasukan masing-masing menjelang musim baharu.

1. Yann Mabella (Terengganu FC)

Persiapan Sang Penyu menjelang musim depan dilihat berada di landasan tepat apabila penyerang import baharu mereka, Yann Mabella segera menunjukkan taring dalam aksi pramusim.

Dalam perlawanan persahabatan menentang Penang FC baru-baru ini, Mabella mencuri perhatian apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-82, sekali gus melengkapkan kemenangan 3-1 buat skuad kendalian Badrul Afzan Razali.

Kehadiran Mabella dilihat sebagai satu suntikan segar buat TFC yang mahu memperbaiki pencapaian musim lalu menamatkan kempen di tempat kelima Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2024.

Import berbisa TFC, Yann Mabella. Facebook/TFC

Berusia 29 tahun dan berketinggian 1.83 meter, penyerang kelahiran Perancis itu memiliki kelebihan sebagai pemain serba boleh yang boleh beraksi di posisi penyerang utama mahupun sayap kiri dan kanan.

Ketajaman awal yang dipamerkan Mabella dalam aksi pemanas badan itu memberi isyarat positif buat Sang Penyu bahawa mereka mungkin telah menemui penggempur yang mampu membuat perbezaan dalam saingan sebenar nanti.

2. Tchetche Kipre (Penang FC)

Bekas penyerang Kuala Lumpur City FC, Tchetche Kipre membuktikan usia bukan penghalang apabila terus menunjukkan ketajamannya di depan gawang bersama pasukan baharu, Penang FC.

Dalam aksi persahabatan menentang Terengganu FC, penyerang berusia 37 tahun itu tidak menunggu lama untuk mencatat nama selaku penjaring apabila meledak satu gol pada minit ke-29, satu petanda bahawa sentuhannya masih berbisa.

Kipre yang berasal dari Ivory Coast, dijangka menjadi tonggak utama di jentera serangan Harimau Kumbang menjelang saingan Liga Malaysia 2025/2026.

Kipre (kanan) membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus tampil sebagai penyerang yang tajam dan berbahaya di hadapan gawang. Facebook/TFC

Pengalaman luas serta keupayaan penyudahnya yang masih tajam memberikan harapan tinggi kepada barisan kejurulatihan untuk melihat Penang tampil lebih kompetitif musim ini.

Dengan reputasi sebagai antara penyerang import paling konsisten dalam liga tempatan, Kipre kini bersedia memainkan peranan penting dalam mengemudi cabaran Harimau Kumbang.

3. Jairo da Silva (Johor Darul Ta'zim)

Penyerang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva mula mencuri perhatian apabila berjaya membuka akaun jaringan bersama skuad Harimau Selatan dalam aksi pramusim di Sepanyol.

Ketika ini, JDT sedang menjalani kem latihan pramusim selama lebih tiga minggu di Sepanyol, termasuk mengatur lapan perlawanan pemanas badan sebagai persiapan menghadapi musim 2025/2026.

Dalam aksi menentang kelab Real Murcia Imperial yang berlangsung di Pusat Latihan Melia Vilaitana pada Ahad, Jairo diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih, Xisco Munoz bersama beberapa nama baharu lain seperti Jon Irazabal, Antonio Glauder dan Hector Hevel.

Penyerang baharu JDT, Jairo (kanan) mencetak gol sulung buat JDT dalam aksi pemanas badan baru-baru ini. Facebook/JST

Penyerang berusia 33 tahun itu tidak mensia-siakan peluang apabila meledak gol pertamanya untuk JDT, hanya sebulan selepas menyertai kelab dari Pafos FC.

Jaringan tersebut turut membantu pasukannya mencatat kemenangan, sekali gus memberi gambaran awal bahawa Jairo mampu menjadi aset penting dalam misi mempertahankan kejuaraan domestik dan mencabar di pentas Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram