Seorang lagi bintang tinggalkan Pahang, 'Abang Misai' tunggu masa ke Thailand


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jun 2025

David Rowley menjadi pemain Tok Gajah terbaru yang dikaitkan dengan perpindahan keluar dari pasukan itu. — Facebook/Sri Pahang FC

MESKIPUN bergelut dengan pelbagai isu pengurusan musim lalu, Sri Pahang FC masih berjaya memperolehi lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, terdapat pula khabar angin mengatakan mereka tidak akan menghantar pasukan kerana tiada sumber kewangan kukuh selepas pemiliknya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sudah menarik diri.

Kesukaran membawa masuk pelabur meyakinkan sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super 2025/26 dengan penyokong sudah bersedia akan berita menyedihkan itu.

BACA LAGI: Tok Gajah makin tempang, hadap JDT tanpa 3 bintang utama

BACA LAGI: Ahapov sengaja dilengahkan untuk jadi bintang dalam final?

Nor Azam Azih dilaporkan akan meninggalkan skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Pengunduran itu turut memaksa lambakan bintang utama pasukan memilih untuk berkelana dengan Ibrahim Manusi dikaitkan ke Johor Darul Ta'zim (JDT) sementara Nor Azam Azih dikhabarkan bakal menyertai Imigresen FC.

Tidak terhenti di situ, skuad Tok Gajah dilaporkan akan kehilangan seorang lagi pemain iaitu David Rowley yang dikhabarkan akan ke Thailand bagi kempen akan datang.

Ura-ura berkenaan mula kedengaran selepas portal bola sepak di negara tersebut, Think Curve menyatakan tonggak Sri Pahang FC itu bakal menyertai kelab bawahan mereka.

"Chanthaburi FC semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia, David Rowley untuk memperkuatkan pasukan dalam Liga 2 Thai.

"Pemain berusia 35 tahun itu pernah beraksi buat skuad kebangsaan Malaysia dan membantu Sri Pahang FC muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu," tulisnya.

David Rowley dikaitkan dengan perpindahan ke Thailand bagi kempen akan datang. Facebook/Think Curve

David Rowley yang dikenali dengan julukan 'Abang Misai' dek penampilannya sememangnya cukup dijulang penyokong Tok Gajah kerana masing-masing amat tertarik dengan kebolehannya dari segi teknikal.

Meskipun hanya mencetak satu gol daripada 19 penampilan Liga Super musim lalu, jaringannya amat diingati kerana ia hadir ketika Sri Pahang FC tumpas 1-3 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan.

Pengalaman dimilikinya sepanjang beraksi dalam arena bola sepak tanah air diharapkan mampu membawa perbezaan buat Chanthaburi FC yang pasti mahu kembali ke divisyen teratas.

Mereka musim lalu menamatkan saingan di kedudukan ke-13 Liga 2 Thai dengan prestasi lebih baik diharapkan bagi sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lebih baik untuk berbuat demikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram