Pemain pilih Kedah FA berbanding KDA FC demi kestabilan, bukan tawaran tinggi


  • Podium
  • Khamis, 10 Jul 2025

Skuad Lang Merah dijangka dibarisi pemain berpengalaman bagi memberi tunjuk ajar kepada 'ubi muda'. — Facebook/Kedah FA

SEPERTI mana diketahui peminat bola sepak tempatan, akan terdapat dua pasukan dari Kedah yang akan berentap dalam Liga A1 Semi Pro musim depan dengan kehadiran tersebut akan merancakkan lagi suasana pertandingan.

Kedah FA yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menyertai saingan tersebut dengan misi mendedahkan 'ubi muda' negeri kepada minit permainan kompetitif.

Skuad Lang Merah bagaimanapun tidak keseorangan kerana Kedah Darul Aman (KDA) FC akan turut beraksi selepas gagal memperolah lesen kebangsaan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

BACA LAGI: Sebelum konflik Kedah-KDA FC, ada 3 lagi kelab senegeri berkongsi liga

BACA LAGI: KDA FC-Kedah FA usah khuatir, AFL keluarkan jadual secepat mungkin elak pertembungan

Skuad Sang Kenari sudah mengadakan sesi latihan, namun pemain pasukan belum diperkenalkan setakat ini. — Facebook/KDA FC

Keberadaan kedua-dua pasukan itu menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan peminat dari Negeri Jelapang Padi, namun segera dilupakan kerana masing-masing hanya mahu menyaksikan persaingan sihat di atas padang.

Tetapi, di sebalik kemeriahan disebabkan kehadiran kedua-dua kelab itu, timbul pula kerisauan baharu berhubung kebolehan membawa masuk pemain baharu bagi kempen akan datang.

Kedah FA dilihat mempunyai sedikit kelebihan berbanding KDA FC dari segi kestabilan memandangkan suntikan dana berterusan dari kerajaan negeri dapat mengelakkan isu tunggakan gaji daripada berlaku.

Hal tersebut turut diakui jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin yang berpandangan pemain ketika ini hanya mahu bayaran terjamin berbanding tawaran gaji terlalu besar.

"Apabila adanya Kedah FA yang menerima sokongan kerajaan negeri, tarikan pastinya diberikan terhadap pasukan itu kerana lebih 'secure' atau selamat. Mungkin apa yang ditawarkan tidak besar, tetapi boleh diterima pada masa ditetapkan.

Sulaiman percaya kestabilan merupakan apa yang dicari pemain tempatan hari ini.

"Ketika ini, pemain seluruh negara lebih tertarik untuk mencari pasukan yang boleh menjamin gaji boleh dibayar dan bukanlah jumlah. Jadi, saya beranggapan ramai bintang sedia ada dalam Kedah FA akan lebih yakin kebajikan mereka terjamin," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan foto dari sesi latihan skuad Lang Merah, kelihatan bekas bek kiri KDA FC, Rizal Ghazali serta Afzal Akbar yang musim lalu beraksi buat Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Mereka turut disertai beberapa pemain lain, termasuk import dari Korea Selatan dan Mesir yang belum didedahkan latar belakang masing-masing dengan persedian sebegitu membuatkan Kedah FA pencabar utama.

Ini merupakan satu usaha gigih daripada negeri tersebut untuk menyemai bakat muda dari negeri tersebut dengan tunjuk ajar pemain berpengalaman akan merealisasikan misi terbabit.

Sulaiman yakin Daud Bakar mempunyai perancangan buat skuad Sang Kenari bagi musim depan. — Facebook/KDA FC

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesukaran KDA FC menarik pemain berkualiti, Sulaiman berpandangan perancangan jelas mampu membantu pasukan tersebut berbuat demikian.

"Sekarang ini, mereka mahu melihat perancangan pihak atasan dalam menguruskan pasukan musim ini serta langkah diambil bagi menyelesaikan hutang sedia ada.

"Jika KDA FC terima tajaan, namun hanya untuk melunaskan tunggakan terdahulu, pemain pasti akan risau berhubung kebajikan mereka. Tetapi, saya yakin Tan Sri Mohd Daud Bakar akan mempunyai perancangan dalam mengurus pasukan dan menyelesaikan hal terdahulu," katanya.

Setakat ini, perkembangan terbaru dikongsikan skuad Sang Kenari adalah apabila mereka mengumumkan kehadiran Azzmi Aziz sebagai pengendali, tetapi belum mengadakan sebarang aksi pramusim.

Melihat kepada beberapa perkongsian sebelum ini, pasukan Hijau Kuning itu dilaporkan sudah bersedia menyediakan isu terdahulu, namun sebarang perkembangan rasmi belum diuar-uarkan di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram