
SABAH FC memberi khabar gembira buat penyokongnya dengan mengekalkan 15 pemain pada musim lalu bagi membawa cabaran skuad The Rhinos bagi menghadapi kempen baharu Liga Malaysia 2025/2026 yang dijangka bermula Ogos.
Dalam senarai nama 15 pemain dikekalkan itu, kehadiran tiga nama bintang utama The Rhinos iaitu Stuart Wilkin, Gabriel Peres dan Dominic Tan antara yang menggembirakan penyokong Sabah FC.
Masakan tidak, tiga tonggak berkenaan banyak dikaitkan dengan perpindahan ke kelab baharu dengan beberapa pasukan dari Thailand dan Indonesia banyak menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat mereka.
BACA LAGI: Dikejar 2 kelab Indonesia, ruginya Sabah FC jika kehilangan Gabriel Peres
BACA LAGI: Jentera serangan tumpul, Sabah sedia bertarung dengan KL demi khidmat Kpah Sherman
Wilkin yang dikenali sebagai pemain tengah berkualiti dengan mempunyai kebolehan melakukan rembatan di luar kotak penalti dikaitkan akan menyarung jersi Kanchanaburi Power FC bagi saingan divisyen satu Liga Thailand.
Tidak cukup dengan Wilkin, Dominic yang merupakan bek skuad kebangsaan kerap menjadi penyelamat dalam barisan pertahanan juga difahamkan menerima tawaran daripada kelab Liga Thailand pada saingan musim baharu nanti.
Manakala, Peres yang dianggap cukup tajam di depan gol walaupun sebagai pemain pertahanan sebelum ini dikatakan sedang dikejar oleh dua kelab Indonesia iaitu Malut United dan Persis Solo.
Oleh itu, melihat tiga nama pemain utama tersebut masih bersama Sabah FC membuatkan penyokong The Rhinos optimis pasukan mereka masih boleh mengekalkan kedudukan tiga teratas Liga Super seperti musim lepas.
Khabar angin kuat mengatakan Dominic serta Wilkin sudah dilamar kelab di negara jiran.
"Lihat nama-nama pemain utama masih ada, harapan untuk tiga teratas dengan saingan derbi Borneo makin sengit. Mudah-mudahan cemerlang musim ini," kata penyokong The Rhinos, Mohd Akasyah Wafiuddin Osman.
"Sangkaan meleset untuk penyokong Sabah FC, sangka ramai yang keluar tapi nama pemain penting masih ada lagi," komen pengikut Sang Badak, Sambal Kobiss.
"Dominic, Wilkin dan Peres masih ada dalam senarai. Memang paling bagus tiga ini," kata penyokong Sabah FC, Dairick Frannandez Daniel.
Selain tiga pemain terbabit, antara yang dikekalkan termasuklah dua penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Damien Lim. Tiga pemain pertahanan iaitu Rawilson Batuil, Daniel Ting dan Dines Rajasingam juga berada dalam senarai.
Turut dikekalkan beberapa pemain tengah seperti Gary Steven, Farhan Roslan dan Miguel Cifuentes.
Selain itu, turut kekal adalah penyerang Darren Lok, Kumaahran dan Jafry Chew selain tiga pemain import baharu iaitu Ajdin Mujagic (penyerang); Dean Pelekanos (pemain tengah) dan Dane Ingham (pertahanan).
Seorang lagi pemain warisan Fergus Tierney turut disenaraikan Sabah musim ini bagi menguatkan bahagian serangan. Sabah turut memanggil semula penjaga gol Ramzi Mustakim selain menambah seorang lagi penjaga gol baharu Azlizan Azlan.
Sementara itu, tujuh pemain bawah 23 tahun turut disenaraikan musim baru antaranya, Rozacklye Yanam, Fakrul Iman, Rusdi Roslan, Shahrol Nizam, Ritchie Svenson, Harith Naem dan Azhad Harraz.
Sabah sebelum ini mengumumkan pemain baharu Maxsius Musa yang kembali menyarung jersi pasukan dan Badrul Affendy telah menarik diri daripada tawaran kontrak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram