Keadaan tip-top bertaraf dunia, cuma 3 stadium tanah air sepi 'tak berpenghuni'


  • Podium
  • Isnin, 23 Jun 2025

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri merupakan markas utama Johor Darul Ta'zim. — Facebook

STADIUM bukan sahaja berfungsi sebagai gelanggang perlawanan, malah menjadi simbol identiti dan kebanggaan sesebuah kelab bola sepak.

Dalam konteks Liga Super, kebanyakan kelab memilih stadium utama di negeri masing-masing sebagai gelanggang rasmi berdasarkan faktor seperti kemudahan moden, lokasi strategik, serta kapasiti tempat duduk yang mampu menarik kehadiran penyokong setia.

Sebagai liga tertinggi dalam saingan Liga Malaysia, Liga Super menyaksikan pelbagai kelab beraksi di gelanggang tersendiri yang memiliki sejarah, kemudahan dan identiti tersendiri.

BACA LAGI: Pengguguran pemain import keputusan tepat demi prestasi Sang Penyu – Legenda Terengganu

BACA LAGI: 'Midfield' import jadi rebutan skuad Jang-Kuching City andai tempoh di Lembah Klang tamat

Contohnya, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadikan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri sebagai markas utama, manakala Selangor FC menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor sebagai gelanggang rasmi mereka.

Namun begitu, di sebalik kemeriahan saingan bola sepak tanah air, terdapat beberapa stadium utama tanah air yang kini sepi dan tidak lagi digunakan secara tetap dalam Liga Malaysia.

Antara stadium yang tidak lagi memiliki penghuni tetap ialah Stadium Tun Abdul Razak (Felda) di Jengka, Stadium Darul Makmur di Kuantan, dan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang.

1) Stadium Tun Abdul Razak (Felda)

Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang kini sunyi tanpa sebarang aksi bola sepak susulan pembubaran rasmi Felda United FC pada 2021.

Stadium yang menjadi gelanggang rasmi kelab berkenaan digunakan kali terakhir dalam saingan Liga Super musim 2020.

Felda United pernah menjadi antara kelab berdaya saing tinggi dalam Liga Malaysia, dengan pencapaian antaranya juara Liga Perdana pada 2010 dan 2018, serta naib juara Piala FA 2007.

Stadium Jengka mempunyai reputasi sebagai salah sebuah stadium terbaik di Pahang ketika ini.  — Facebook

Malah, kelab itu juga pernah mencatat sejarah apabila layak ke pentas Piala AFC, mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Namun selepas pengunduran rasmi kelab itu daripada saingan liga dan pembubaran penuh pada 2021, stadium berkapasiti sederhana itu kini kekal tidak berpenghuni meskipun dilengkapi dengan kemudahan yang baik.

Bagaimanapun, peminat bola sepak tanah air masih bernasib baik kerana stadium itu masih boleh disewa bagi mana-mana aksi persahabatan dengan orang ramai sudah tentu teruja apabila berpeluang beraksi dalam stadium bertaraf Liga Super.

2) Stadium Darul Makmur, Kuantan

Stadium Darul Makmur yang menjadi ikon bola sepak Pahang turut menerima nasib yang sama.

Dengan pengunduran rasmi Sri Pahang FC daripada saingan Liga Malaysia musim 2025/2026, harapan penyokong untuk menyaksikan semula aksi Tok Gajah di gelanggang berwajah baharu itu kini tinggal impian.

Sebelum ini, untuk musim 2024/2025, Sri Pahang FC menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebagai venue rasmi berikutan kerja naik taraf Stadium Darul Makmur.

Harapan penyokong untuk menyaksikan semula aksi Tok Gajah di gelanggang berwajah baharu itu kini tinggal impian. — Facebook

Sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan bagi kerja penambahbaikan termasuk penukaran rumput Cow Grass kepada Bermuda Tifgrand serta kemudahan padang lain.

Menariknya, padang Stadium Darul Makmur mencatat sejarah apabila menjadi padang rumput semula jadi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan FIFA menerusi Program Kualiti Permukaan Padang Semula Jadi, hasil penilaian oleh Acousto-Scan Pty Ltd pada 23 dan 24 April lalu.

Namun, dengan ketiadaan pasukan yang beraksi di sana, stadium ini kini menjadi satu lagi fasiliti sukan bertaraf antarabangsa yang tidak digunakan secara aktif, satu kehilangan besar buat penyokong Pahang dan bola sepak negara secara keseluruhan.

3) Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang

Stadium Batu Kawan, yang sebelum ini pernah menjadi gelanggang alternatif bagi beberapa pasukan dari Utara tanah air, kini turut sepi selepas Penang FC memilih Stadium Bandaraya sebagai gelanggang rasmi mereka.

Walaupun kemudahannya diiktiraf antara yang terbaik di rantau Utara, ketiadaan penghuni tetap menyebabkan stadium ini tidak lagi digunakan dalam saingan Liga M.

Kali terakhir Stadium Batu Kawan digunakan adalah pada aksi pramusim Piala Harapan 2023 yang menyaksikan penyertaan Penang FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan Geylang International FC dari Singapura.

Kali terakhir Stadium Batu Kawan digunakan adalah pada aksi pramusim Piala Harapan 2023. — Facebook

Ketiadaan aktiviti tetap di Stadium Batu Kawan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pengurusan fasiliti sukan negara, serta keperluan perancangan jangka panjang bagi memastikan aset-aset sukan bernilai tinggi ini terus dimanfaatkan secara optimum.

Situasi tiga stadium utama tersebut menggambarkan realiti pahit yang sedang dihadapi bola sepak Malaysia.

Di sebalik pembangunan infrastruktur dan peningkatan kualiti padang, kelangsungan pasukan bola sepak dan penyertaan aktif dalam liga menjadi kunci utama dalam menghidupkan semula denyut nadi di venue-venue bersejarah ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram