
PENYERTAAN dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26 menyaksikan Kedah FA yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri turut sibuk melakukan persiapan dalam usaha menyediakan pasukan terbaik bagi saingan itu nanti.
Baru-baru ini, pasukan bimbingan Victor Andrag itu sudah memulakan sesi pramusim pada Isnin meskipun pemain dalam skuad Lang Merah belum diperkenalkan secara rasmi setakat ini.
Namun, melihat kepada sesi di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah, beberapa nama dikenali kelihatan hadir melapor diri seperti Rizal Ghazali yang musim lalu bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC serta bekas tonggak Kelantan, Afzal Akbar.
Afzal yang beraksi bersama KDN FC musim lalu difahamkan akan menjadi pemain baharu Lang Merah. — Facebook/Kedah FA
Latihan tersebut diadakan bersama sebuah lagi pasukan Liga A1 Semi Pro, GSA Perlis FC yang berakhir dengan kemenangan 3-1 buat Kedah FA dengan keputusan berkenaan pasti membakar semangat skuad Lang Merah.
"Perlawanan semalam (Isnin) turut digunakan barisan kejurulatihan untuk menguji beberapa pemain import dari Korea Selatan, Mesir dan Portugal yang hadir menjalani ujian pemilihan. Kehadiran mereka dijangka memberi nilai tambah kepada skuad sekiranya terpilih secara rasmi.
"Musim pertama dalam saingan baharu bakal menyaksikan gandingan tenaga muda dan pengalaman apabila pasukan ini dibarisi campuran pemain dari skuad Liga Super, skuad Piala MFL B-23 serta pemain-pemain dari pasukan Piala Presiden dan Belia," tulis kelab itu pada Selasa.
Tulis kelab tersebut dalam hantaran sama, campuran 'ubi muda' dan bintang berpengalaman dalam pasukan adalah supaya kesinambungan dapat diteruskan ke tahap lebih tinggi.
Penyertaan Kedah FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro pada awalnya menimbulkan persoalan. — Facebook/Kedah FA
Sebelum ini, keputusan Kedah FA beraksi dalam Liga A1 Semi Pro menimbulkan persoalan kerana ramai mempertikaikan pendirian kerajaan negeri untuk tidak membantu KDA FC.
Bagaimanapun, presiden persatuan, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan keputusan itu dibuat adalah untuk memastikan pemain muda dari Kedah dapat menceburi sukan tersebut secara serius.
Meskipun memilih untuk mengasah bakat 'ubi muda', kehadiran pemain berpengalaman dalam Liga Super seperti Rizal dan Afzal diperlukan kerana mereka boleh memberi tunjuk ajar diperlukan.
Kemasukan pemain import juga sudah tentu menarik untuk disaksikan kerana skuad Lang Merah akan menggunakan kelebihan dalam memberi saingan kepada 15 pasukan lain dalam saingan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram