
KETIKA ini, hangat diperkatakan apabila terdapat dua pasukan berpangkalan di Kedah yang akan berentap dalam Liga A1 Semi Pro dengan kedua-duanya berada di bawah entiti berbeza.
Kedah Darul Aman (KDA) FC yang pemegang saham majoriti merupakan Tan Sri Mohd Daud Bakar akan berentap selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan ke divisyen utama bola sepak negara musim depan.
Skuad Sang Kenari akan turut diiringi Kedah FA yang merupakan sebuah lagi wakil dari Negeri Jelapang Padi itu dengan ia merupakan kelab yang berada di bawah naungan kerajaan negeri.
BACA LAGI: Bersinar di Kedah, Sabah bukti perpindahan bintang kelab 'terkubur' bukan tangkap muat
BACA LAGI: Jaga-jaga Selangor, Kedah-TFC ada sejarah import Thai 'flop' di Liga Super
Kedah FA akan mewarnai arena Liga A1 Semi Pro musim depan di samping KDA FC. — Facebook/Kedah FA
Keberadaan dua pasukan dari negeri yang sama sekali gus menimbulkan konflik kerana ia mencetuskan keretakan dalam kalangan penyokong mengenai kelab manakah wajar diberi sokongan tidak putus.
Tidak cukup dengan itu, timbul juga pertikaian dari segi penggunaan infrastruktur memandangkan kedua-duanya terpaksa berkongsi Stadium Darul Aman, Kedah dengan Kedah FA memegang hak lebih besar.
Bagaimanapun, konflik sebegitu tidak perlu diperbesarkan kerana ini bukanlah kali pertama peminat bola sepak negara menyaksikan dua pasukan dari negeri yang sama berkongsi pentas.
Berdasarkan pengalaman lalu, terdapat tiga negeri yang menghantar dua pasukan dalam liga sama dengan situasi sedemikian tidaklah mencetuskan konflik seperti mana disaksikan antara KDA FC dan Kedah FA.
1. Kelantan United dan Kelantan FC
Pelbagai usaha kini dilakukan untuk cuba menyelamatkan arena bola sepak Kelantan yang dahulunya pernah menjadi negeri paling digeruni di atas padang selain memiliki jumlah penyokong cukup kuat.
Ini termasuk usaha kerajaan negeri dengan menubuhkan Kelantan United pada 2016, tidak lama selepas saham Kelantan FC diperolehi beberapa usahawan tempatan.
Bagaimanapun, setiap langkah diambil untuk menghidupkan kedua-dua pasukan tidak pernah membuahkan hasil, termasuk ketika mereka berkongsi saingan liga untuk sekurang-kurangnya empat musim.
Peminat berpeluang menyaksikan Kelantan FC dan Kelantan United dalam Liga Super secara serentak.
Kali pertama Kelantan FC dan Kelantan United berada di pentas yang sama adalah dalam saingan Liga Perdana 2020 dengan skuad The Red Warriors (TRW) berada di bawah pemilikan Norizam Tukiman sementara 'pasukan adik' terus mengharapkan dana kerajaan negeri.
Meskipun pada awalnya kedua-dua kelab tersebut membawa sinar harapan, isu pengurusan menyaksikan kedua-duanya gagal membawa semula kemeriahan bola sepak di Kelantan.
Tambahan pula, ketika dua pasukan terbabit berkongsi pentas Liga Super 2023, mereka gagal memberi impak seperti mana dimahukan, malah menjadi pasukan belasahan yang menceritakan suasana bola sepak di negeri Pantai Timur itu.
2. Johor FA dan Johor FC
Lama sebelum Johor Darul Ta'zim (JDT) mendominasi arena bola sepak tempatan, peminat di negeri tersebut terlebih dahulu menyaksikan permusuhan antara Johor FA dan Johor FC.
Malah, mereka turut sempat melihat kedua-dua kelab itu berentap dalam Liga Super kira-kira 15 tahun lalu yang masing-masing bukanlah pencabar utama kepada pasukan lain.
Johor FC yang dibarisi pemain seperti Eddy Helmi Manan dan Wan Rohaimi Wan Ismail dilihat lebih hebat berbanding Johor FA yang tergelincir ke divisyen kedua.
Revolusi bola sepak di Johor sebelum kemunculan JDT.
Bagaimanapun, ketika kedua-dua kelab itu berentap dalam liga yang sama, tiada sebarang isu berhubung perkongsian stadium kerana Stadium Larkin dan Stadium Pasir Gudang berfungsi dengan baik sepanjang musim.
Peluang untuk peminat bola sepak di Selatan tanah air untuk menyaksikan kedua-duanya berentap di pentas sama bagaimanapun tidak berulang selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mewujudkan JDT yang menggabungkan kelab-kelab terbabit.
3. Terengganu FA dan T-Team
Sekiranya ditanya peminat boloa sepak di Terengganu, ramai sudah tentu tidak dapat melupakan nama T-Team yang pernah beraksi dalam saingan Liga Super di samping pasukan utama, Terengganu FA.
Kelab tersebut pada awalnya ditubuhkan hanya untuk beraksi dalam Liga FAM, namun berjaya melangkah ke divisyen teratas meskipun tiada pelaburan besar dikeluarkan setiap kali jendela perpindahan.
T-Team pernah menjadi sebuah lagi pasukan yang berasal dari Terengganu dan berentap dalam arena bola sepak tempatan. — Facebook/T-Team
Malah, lebih menarik lagi, kedua-dua pasukan itu pernah berkongsi pentas dalam saingan Liga Super 2010, namun Terengganu FA jauh meninggalkan jiran terdekat mereka tersebut.
Ini termasuk apabila pada musim berikutnya, skuad Sang Penyu menamatkan kempen di tangga kedua sementara T-Team terpaksa berpuas hati di kedudukan kesembilan.
Mereka kemudiannya berentap dalam liga yang sama sehingga 2014 sebelum T-Team tersingkir ke divisyen bawahan dan akhirnya dijenamakan semula sebagai Terengganu FC II tidak lama kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram