
PEMPENGARUH media sosial, Muhamad Iqbal Muhamad Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.
Tertuduh, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Iqbal didakwa melakukan perbuatan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa, dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah unit kediaman di Batu Caves, Gombak pukul 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
BACA LAGI: Isu paparan graf aplikasi myTNB kembali berfungsi, tak jejas bil Julai pelanggan
BACA LAGI: 5.1 juta akaun BNPL aktif, KPT bimbang mahasiswa terjebak skim beli sekarang bayar kemudian
CEO Batu (kiri) sebelum ini dilantik sebagai duta pasukan KDA FC namun sudah ditamatkan kontrak. — Facebook/KDA FC
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Aniq Rafih memohon jumlah jaminan yang lebih rendah sebanyak RM6,000, dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pempengaruh dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
“Pendapatan tertuduh juga terjejas susulan akaun media sosialnya telah disekat, manakala telefon pintar miliknya kini dalam rampasan pihak polis.
"Selain itu, tertuduh turut menjaga datuknya yang menghidap penyakit kencing manis dan jantung,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Ogos depan bagi serahan dokumen berkaitan.
Sebelum ini, media melaporkan CEO Batu ditahan polis susulan dakwaan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang remaja bawah umur.
Kes itu menjadi perhatian selepas penyanyi dan pempengaruh Caprice memuat naik beberapa hantaran di Instagram mendakwa menerima aduan daripada ibu mangsa, termasuk tangkap layar mesej dan gambar tidak senonoh yang dikatakan dihantar oleh tertuduh kepada anaknya, kononnya bagi menunjukkan parut pembedahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram