Jangan tunggu lama-lama, 3 khabar angin termasuk Syafiq Ahmad masih belum dimuktamadkan


  • Podium
  • Selasa, 08 Jul 2025

Hasrat Syafiq Ahmad ke skuad Peteh dilihat tidak kesampaian selepas Terengganu FC mengesahkan kemasukan pemain import Junior Ngong Sam. — Facebook/KDAFC

TATKALA saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi, media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai khabar angin mengenai perpindahan beberapa pemain tanah air ke kelab baharu.

Beberapa nama besar telah dikaitkan dengan pergerakan dari kelab asal mereka, dipercayai akibat tempoh pinjaman yang tamat, kontrak berakhir atau situasi pasukan yang membuat keputusan mengundur diri.

Tidak hanya pemain, malah Ketua Jurulatih sebuah pasukan yang sedang meningkat naik turut menjadi tumpuan dalam spekulasi perpindahan tersebut.

BACA LAGI: Seperti diramal, import Sabah FC antara 3 pemain pilih ikut jejak bekas jurulatih sertai kelab baharu

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan lagi teka-teki, kehadiran Park Tae-su kuatkan spekulasi sertai Sang Saka Biru

Bukan apa, terdapat pelbagai faktor mengapa perpindahan itu masih belum dimuktamadkan, tak mustahil ia sekadar khabar angin.

Selain faktor kewangan kelab, kurangnya minat untuk benar-benar merealisasikan perpindahan itu juga mungkin penyebab ia berlaku.

Setakat ini, terdapat tiga individu utama yang sering disebut-sebut bakal meninggalkan kelab mereka, namun tiada sebarang keputusan rasmi yang diumumkan. Jangan tunggu lama-lama, nanti disambar orang!

1. Syafiq Ahmad

Masalah dalaman yang melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC, yang kini disahkan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, mendorong ramai pemain mengambil keputusan untuk mencari kelab baharu demi memastikan kelangsungan kerjaya mereka.

Antara yang telah melangkah ke depan ialah penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang memilih untuk kembali ke Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tamat tempoh pinjaman di Utara tanah air.

Syafiq yang menghadapi kecederaan pada penghujung 2024, terpaksa menerima hakikat bahawa tempoh perkhidmatannya kali ketiga bersama skuad Sang Kenari tidak mencapai prestasi yang diharapkan.

Sang Penyu kini mempunyai penyerang import yang mantap, Junior Ngong Sam sekali gus menutup ruang untuk mereka merekrut pemain tempatan musim depan. Facebook/TFC

Dalam saingan Liga Super musim lalu, pemain berusia 30 tahun itu hanya berpeluang diturunkan sebanyak 13 kali, dengan mencatatkan dua gol dan satu bantuan jaringan bagi KDA FC.

Walaupun begitu, Syafiq tidak perlu menunggu lama untuk mencari destinasi baharu apabila khabar angin terkini menyebut Terengganu FC berminat mendapatkan khidmatnya.

Namun, hasratnya untuk menyarung jersi skuad Peteh itu nampaknya tidak kesampaian apabila Terengganu FC baru sahaja mengesahkan penambahan pemain import, bekas penyerang Stallion Laguna, Junior Ngong Sam.

Kekuatan fizikal dan kelajuan yang dimiliki penyerang berbisa dari Cameroon itu dilihat sebagai saingan yang sukar untuk ditandingi oleh Syafiq, terutamanya dengan masalah kecederaan yang dialaminya.

2. Kpah Sherman

Kuala Lumpur City FC (KL City) dilihat semakin mengganas menjelang sepak mula musim 2025/2026 apabila difahamkan sudah mendapatkan tandatangan bekas penyerang berbisa Sri Pahang FC, Kpah Sherman sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pasukan pilihan musim depan.

Selepas mengesahkan kehadiran trio pemain pinjaman dari skuad Harimau Selatan, Safawi Rasid, Manuel Hidalgo dan Syamer Kutty Abba baru-baru ini, Sherman kini dikatakan menjadi ‘ayam tambatan’ terbaru yang berjaya diikat KL City.

Sherman dijangka bersaing dengan Safawi Rasid bagi merebut posisi penyerang. — Facebook/KLCityfc

Kehadiran pemain import dari Liberia itu pastinya menambah tenaga baharu kepada jentera serangan The City Boys, yang turut mengekalkan penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue.

Bagaimanapun, sekiranya Sherman benar-benar menyarung jersi The City Boys musim depan, dia bakal berdepan persaingan sengit dengan Safawi yang juga sering beraksi di posisi yang sama.

Namun begitu, setakat ini KL City masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai kemasukan penyerang kelahiran Liberia tersebut.

3. Aidil Sharin Sahak

Kecemerlangan Aidil Sharin Sahak dalam mengangkat nama Kuching City FC kini mencuri tumpuan bukan sahaja penyokong dalam negara, malah juga peminat bola sepak di luar negara.

Menurut laporan media Singapura, nama Aidil kini tersenarai dalam radar Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai calon pengganti Tsutomu Ogura yang baru-baru ini mengumumkan pengunduran diri.

Ini membuka peluang kepada Aidil untuk kembali membimbing skuad negara kelahirannya, selepas kali terakhir memimpin Home United pada 2018.

Sementara menunggu pengumuman rasmi, FAS telah melantik bekas jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee sebagai jurulatih interim.

Nama Aidil kini tersenarai dalam radar FAS sebagai calon pengganti Tsutomu Ogura yang mengundurkan diri sebagai jurulatih. Facebook/Kuchingcityfc

Nama Aidil menjadi pilihan utama berikutan kejayaannya membawa Kuching City meraih tempat keempat Liga Super musim 2024/25.

Prestasi cemerlang itu turut membolehkan bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ini dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Musim 2024/25, menewaskan saingan hebat seperti Hector Bidoglio dari JDT dan Kinoshi Katsuhito dari Selangor FC.

Jika dipilih sebagai pengganti Ogura, Aidil Sharin akan menjadi jurulatih tempatan pertama yang mengendalikan skuad Singapura sejak 2022.

Bagaimanapun, tiada lagi pengumuman rasmi daripada Kuching City atau FAS mengenai masa depan Aidil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram