Tak ramai, tapi ada bintang warisan, naturalisasi ini tak pernah bersama JDT


  • Podium
  • Khamis, 10 Jul 2025

Dari kiri: Lee Tuck, Brendan Gan dan Nooa Laine tidak pernah menyarung jersi JDT sepanjang karier masing-masing.

TIDAK boleh dinafikan bahawa kebergantungan skuad kebangsaan terhadap pemain warisan dan naturalisasi cukup hebat ketika ini apabila mereka mula menjadi nadi utama pasukan dalam hampir setiap perlawanan.

Ini kerana kehadiran bintang dalam kategori tersebut boleh menghadiahkan nilai bermakna memandangkan mereka didedahkan kepada sistem bola sepak lebih teratur sebelum meraih status masing-masing.

Namun, seperti mana disedari ramai, pemain-pemain berkenaan seperti akan mempunyai pertalian dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana kelab itu pantas menyedari pertalian darah mereka sebelum pihak lain mampu berbuat demikian.

BACA LAGI: Bintang Sepanyol hampiri status pemain warisan, siap pakej perpindahan ke JDT

BACA LAGI: Belum sempat ‘berpeluh’ bersama JDT, nilai pasaran 3 pemain termasuk bintang warisan tiba-tiba susut

Irazabal merupakan antara pemain warisan terbaru yang akan beraksi buat skuad Harimau Selatan musim depan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Malah, melihat kepada jendela perpindahan kali ini, skuad Harimau Selatan pantas menyambar bintang warisan negara dengan Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo sah menjadi milik mereka.

Meskipun ramai mempertikaikan perkara tersebut, masing-masing terpaksa akur dengan fakta JDT memiliki fasiliti terbaik untuk memastikan setiap dari mereka terus berada dalam prestasi terbaik.

Bagaimanapun, di sebalik lambakan bintang negara berstatus warisan mahupun naturalisasi, terdapat tiga nama besar yang tidak pernah beraksi buat skuad Harimau Selatan dalam karier mereka.

1. Brendan Gan

Antara pemain terawal dalam era moden bola sepak tempatan yang memegang status pemain warisan merupakan Brendan Gan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati bapanya berasal dari Negeri Sembilan.

Pemain tengah tersebut mencipta debut bersama Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Arab Saudi dan terus menjadi nadi utama pasukan dengan kebolehannya dari segi bertahan dan menyerang.

Brendan Gan menjadi watak utama skuad Gergasi Merah untuk bermusim-musim lamanya. Selangor FC

Di peringkat kelab pula, Brendan turut cemerlang bersama beberapa kelab tempatan bermula dengan Sabah, Kelantan, Perak, Selangor FC sebelum menamatkan kariernya di Liga Super bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2024/25.

Tetapi, meskipun cemerlang sepanjang karier, pemain tengah tersebut tidak pernah menyarung jersi JDT meskipun terdapat khabar angin mengatakan kelab terbabit pernah menawarkan kontrak kepadanya.

Bagaimanapun, ura-ura yang pernah menjadi bahan sensasi negara itu pantas dilenyapkan kedua-dua pihak, sekali gus membuatkan hasrat penyokong melihatnya bersama pasukan terbabit tidak kesampaian.

2. Lee Tuck

Selepas melengkapkan tempoh lima tahun beraksi dalam Liga Super, Lee Tuck akhirnya menerima status naturalisasi pada 2022 dengan dia ketika itu beraksi buat Sri Pahang FC.

Kejayaan mendapatkan pemain tersebut cukup menggembirakan penyokong ketika itu memandangkan pemain kelahiran England terbabit tidak pernah putus dalam memberi aksi terbaik.

Momen terbaik Lee Tuck dalam arena bola sepak tempatan sudah tentu ketika dia beraksi buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Namun, meskipun cemerlang di peringkat kelab, Lee Tuck tidak pernah diberi peluang berada dalam skuad Harimau Selatan kerana dia hanya beraksi buat Negeri Sembilan, Terengganu, Sri Pahang dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Malah, berdasarkan laporan terdahulu, tidak pernah dikaitkan dengan JDT meskipun pernah diangkat sebagai antara pemain import terbaik, lebih-lebih lagi semasa beraksi buat skuad Sang Penyu.

Pemain serba boleh itu akhirnya hanya sempat beraksi buat skuad kebangsaan sebanyak sembilan kali sebelum secara mengejut pulang ke Eropah dua tahun lalu dan menamatkan kariernya lebih awal.

3. Nooa Laine

Sebelum merasai pengalaman beraksi dalam Liga Super, Nooa Laine terlebih dahulu diberi peluang beraksi buat skuad kebangsaan apabila diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Turkmenistan pada 2023 ketika dia masih bermain di Finland.

Menyedari bakat dimilikinya dalam aksi tersebut, pemain tersebut pantas dikaitkan dengan perpindahan ke JDT dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah memberi bayangan sedemikian.

Nooa Laine menolak JDT dan sebaliknya menyertai skuad Gergasi Merah. Selangor FC

Bagaimanapun, Nooa yang baru berusia 22 tahun secara tiba-tiba memilih untuk menyertai seteru utama skuad Harimau Selatan, Selangor FC dengan keputusan tersebut mengejutkan ramai pihak.

Tetapi, sekiranya difahami secara lebih mendalam, keputusan itu diambil kerana JDT sudah memiliki lambakan pilihan di posisi tersebut seperti Hong Wan dan Natxo Insa yang akan menyukarkan Nooa meraih minit permainan.

Keputusan itu juga tidak memakan diri kerana bintang Gergasi Merah tersebut masih menjadi nadi utama Harimau Malaya dengan 14 penampilan sudah direkodkannya setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram