
FENOMENA pemain menyertai semula bekas jurulatih mereka di kelab baharu semakin menjadi perhatian dalam kancah bola sepak tempatan.
Beberapa pemain bola sepak tanah air kini dilihat cenderung untuk mengikut jejak langkah jurulatih yang pernah membimbing mereka.
Trend itu didorong oleh beberapa faktor utama seperti kepercayaan terhadap sistem latihan jurulatih, hubungan profesional yang kukuh, serta keyakinan terhadap peluang perkembangan karier di bawah kendalian individu yang telah mereka kenali dan selesa bekerjasama sebelum ini.
BACA LAGI: Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN
BACA LAGI: Keadaan tip-top bertaraf dunia, cuma 3 stadium tanah air sepi 'tak berpenghuni'
Selain faktor taktikal, perpindahan seperti itu turut memberi kelebihan dari segi keselesaan dan penyesuaian, khususnya bagi pemain yang baru berpisah dengan pasukan lama dan mencari persekitaran yang lebih mesra serta stabil.
Oleh itu, tidak mengejutkan apabila ada pemain yang lebih cenderung untuk menyertai semula bekas jurulatih mereka.
1. Telmo Castanheira (Persik Kediri)
Bekas pemain tengah Sabah FC, Telmo Castanheira, kini sah menyertai kelab Indonesia, Persik Kediri sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya di Liga 1 Indonesia.
Perkara itu diumumkan secara rasmi oleh Persik Kediri menerusi platform media sosial mereka, mengesahkan kehadiran pemain tengah berpengalaman dari Portugal itu bagi menghadapi saingan musim baharu.
Perpindahan itu turut menyaksikan Castanheira kembali bekerjasama dengan pengendali Persik, Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini pernah membimbingnya di Sabah FC.
Telmo mengambil keputusan untuk menyertai Kim Swee di Indonesia. — Instagram/persikfcofficial
Keserasian antara kedua-dua individu berkenaan dipercayai menjadi salah satu faktor utama perpindahan tersebut.
Sepanjang bersama Sabah, bekas pemain Santa Clara itu mencatatkan 57 penampilan, enam gol dan 11 bantuan jaringan, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan tersebut selepas tamat musim 2024/25.
Castanheira kini dijangka bakal berentap dengan bekas rakan sepasukan, Saddil Ramdani, yang turut berhijrah ke Liga 1 Indonesia selepas menerima tawaran daripada Persib Bandung.
2. Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC)
Bekas pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee kini sah kembali menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi memperkuatkan skuad Jang menjelang saingan musim 2025/2026.
Khuzaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Jimmy, pernah beraksi bersama Negeri Sembilan sebelum ini dan menyarung jersi Selangor FC di bawah bimbingan Nidzam Jamil yang ketika itu bertindak sebagai ketua jurulatih interim Gergasi Merah.
Walaupun tempoh kendalian Nidzam bersama Selangor singkat, jodoh antara pemain dan jurulatih itu nampaknya berpanjangan apabila NSFC mengesahkan pelantikan Nidzam sebagai Ketua Jurulatih baharu untuk musim depan.
Khuzaimi kembali bergabung bersama Nidzam di Negeri Sembilan. — Instagram/khuzaimipiee
Untuk rekod, Nidzam mula membimbing Selangor pada 16 Mac lalu, menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan.
Namun, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan itu dan kini sah mengetuai cabaran NSFC di Liga Malaysia.
Perpindahan itu sekali gus menyaksikan satu lagi 'reunion' antara pemain dan bekas jurulatih dalam kancah bola sepak tempatan, dengan harapan untuk membawa impak positif kepada pasukan menjelang musim baharu.
3. Lee Tuck (KDA FC)
Pemain tengah Harimau Malaya, Lee Tuck, pernah menjadi antara pemain yang memilih untuk menyertai bekas jurulatihnya apabila menyertai Kedah Darul Aman FC bagi musim 2023, selepas mengumumkan perpisahan dengan Sri Pahang FC pada penghujung musim 2022.
Perpindahan itu menyaksikan Lee Tuck kembali berganding bahu bersama Nafuzi Zain, yang ketika itu baru sahaja mengambil alih kendalian skuad Hijau Kuning.
Kedua-duanya pernah bekerjasama sebelum ini ketika Lee Tuck beraksi bersama Terengganu FC pada musim 2019 dan 2021, yang mana dia memainkan peranan penting dalam strategi pasukan.
Lee Tuck mengambil keputusan untuk kembali bekerjasama bersama Nafuzi di Kedah pada musim 2023. — Agensi
Ketika menyertai Kedah, Lee Tuck dilihat sebagai prospek utama dalam merangka kekuatan baharu pasukan di bawah kendalian Nafuzi, berdasarkan pengalaman dan kemampuan teknikalnya di posisi tengah.
Bagaimanapun, pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu kini tidak lagi aktif dalam bola sepak profesional.
Beliau sebelum ini mencuri perhatian apabila mewakili Malaysia dalam acara kecergasan Hyrox World Championship, sekali gus menunjukkan kepelbagaian bakatnya di luar padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram