KDA FC-Kedah FA usah khuatir, AFL keluarkan jadual secepat mungkin elak pertembungan


  • Podium
  • Rabu, 02 Jul 2025

Keberadaan KDA FC dan Kedah FA dalam Liga A1 Semi Pro 2025/2026 mencetuskan kehangatan orang ramai.

KEDAH Darul Aman FC (KDA) FC dan Kedah FA yang akan berentap dalam Liga A1 Semi Pro nampaknya tidak perlu khuatir memikirkan isu pertembungan di venue sama susulan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) akan mengeluarkan jadual untuk memudahkan urusan kelab.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan bahawa jadual rasmi perlawanan AFL akan dikeluarkan dalam masa terdekat, dengan tumpuan utama diberikan bagi mengelakkan pertembungan dua pasukan yang berkongsi stadium sebagai gelanggang sendiri.

Katanya, walaupun belum ada jadual rasmi, draf telah disiapkan dan kini sedang melalui semakan akhir.

BACA LAGI: Izin kelab bawa masuk 3 import, AFL minta 3 bulan deposit gaji sebagai jaminan

BACA LAGI: Tiga lagi pasukan termasuk KDA, wakil Perlis sertai Liga A1, jadikan 16 kelab bertanding

Ini katanya turut mengambil kira pertandingan-pertandingan lain yang dijalankan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta komitmen peringkat antarabangsa yang mungkin melibatkan kelab tempatan.

“Kita (AFL) akan menyusun jadual berseuaian dengan keadaan pasukan. Kita akan cepatkan urusan membuat jadual.  Tapi buat masa ini, jadual liga masih belum boleh dikeluarkan kerana perlu mengikut kesesuaian MFL.

“Contohnya, Kedah ada dua pasukan. Jadi kita akan aturkan supaya apabila satu pasukan bermain di laman sendiri, pasukan satu lagi akan beraksi di tempat lawan pada minggu yang sama.

“Begitu juga minggu seterusnya, kita akan rotate jadual supaya tidak berlaku pertembungan,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis Pelancaran Bola Rasmi dan Taklimat Liga A1-Semi Pro di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Menurut beliau, perancangan berkenaan memerlukan kerjasama penuh daripada pihak pengurusan stadium agar penjadualan berjalan lancar tanpa mengganggu operasi venue sedia ada.

“Ada juga kes di mana venue utama sedang menjalani proses naik taraf atau pengubahsuaian. Jadi pasukan-pasukan telah diminta untuk menyediakan venue kedua sebagai pilihan sekiranya berlaku sebarang perubahan mendadak.

“Pasukan-pasukan juga telah pun memuktamadkan venue masing-masing dan menyediakannya kepada AFL. Kita faham ada yang dominasi satu venue, tapi kita juga minta mereka senaraikan alternatif sekiranya berlaku sebarang konflik penggunaan stadium,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram