
SELEPAS mengharungi 11 aksi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2025, Sabah FA hanya berada di tangga keempat selepas mengumpul 17 mata hasil lima kemenangan dan dua keputusan seri.
Tetapi, wakil Borneo tanah air itu masih mencatatkan keputusan memberangsangkan pada kempen kali ini, termasuk kejayaan menundukkan Pahang Rangers dalam pertembungan baru-baru ini.
Kedua-dua pasukan tersebut berentap di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu pada Ahad lalu yang menyaksikan Sabah FA mencatatkan kemenangan 9-5 dalam satu pertembungan epik.
BACA LAGI: Tak jadi ke Iskandar Puteri, CM Sepanyol berstatus ejen bebas jadi rebutan Selangor-N9-Sabah
BACA LAGI: Tak nafi JDT beri sumbangan besar gilap pemain, 3 'ubi muda' dipesan jangan kecewakan Kuching-Sabah
Tumpuan utama sudah tentu diberikan kepada tonggak tuan rumah, Vitor Manoel da Silva yang meledak empat gol untuk membawa pulang tiga mata penuh dari pihak lawan.
Bagaimanapun, pengorbanan dicurahkan pemain di posisi pivot itu tidak terhenti di situ apabila dia mengalami kecederaan akibat hentakan keras sehingga menyaksikannya pitam buat sementara.
"Momen Vitor tidak sedarkan diri untuk seketika. Selamat kecederaan dialami tidak serius dan dia kembali lebih kuat," tulis kelab futsal itu menerusi Facebook.
Dalam rakaman berdurasi lebih dari seminit itu, import dari Brazil tersebut dihadang keras oleh pemain Pahang Rangers, Felipe de Souza yang menyaksikan kedua-duanya menghentam papan di tepi gelanggang.
Keputusan memberangsangkan dicatatkan Sabah FA meletakkan mereka di tangga keempat MPFL. — Facebook/FAM
Insiden tersebut kemudian menarik perhatian pihak perubatan Sabah FA dan pengadil perlawanan yang terpaksa menghentikan perlawanan supaya rawatan dapat diberikan buat Vitor.
Bintang pasukan Borneo itu dibawa ke atas pengusung untuk dibawa ke kawasan disediakan, namun tidak dipastikan berapa lamakah dia mengambil masa di tepi gelanggang.
Aksi di Dewan Sri Putatan tersebut turut diwarnai beberapa momen hangat lain, termasuk apabila penjaga gol pasukan pelawat, Afiq Abdul Rahman dibuang padang seawal minit kedua permainan.
Tidak cukup dengan itu, jurulatih penjaga gawang Pahang Rangers, Rahimi Ab Shatar turut mengalami nasib sama dengan ia menceritakan kehangatan sukan futsal yang tidak boleh dilepaskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram