Tak tunggu lama, bintang buangan Kedah pantas disambar Selangor


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

SAINGAN Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2025 juga rancak melakukan perpindahan pemain apabila terbaharu, Selangor pantas menyambar Yazid Kamaruzuan yang baru sahaja dilepaskan Kedah FA.

Sebelum ini, Yazid bersama tiga pemain iaitu Shamsuri Saleh, Luqman Yaacob serta Cesar Shammir sudah digugurkan daripada pasukan selepas masing-masing dilihat kurang sesuai dalam sistem semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Kedah FA, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, keputusan itu diambil kerana prestasi semasa pasukan tidak menceritakan kebolehan sebenar mereka.

BACA LAGI: Kedah makin mantap, bawa masuk ex JDT lepas kekalkan sepupu Teerasil Dangda

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya bukan kuda tua', Gonzalez buktikan kemampuan diri selepas 7 bulan tak beraksi

Untuk rekod, selepas tujuh perlawanan, skuad bimbingan Aidiel Boon Abdullah itu gagal memberi saingan dalam MPFL musim ini apabila hanya berada di tangga ketujuh daripada lapan pasukan bertanding.

Ini termasuk lima kekalahan dialami yang menyaksikan Kedah dibolosi sebanyak 35 kali secara keseluruhan dengan statistik itu adalah yang paling teruk.

Meskipun Yazid tidak merekodkan gol bersama kelab Utara tanah air berkenaan namun bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disambar Selangor dengan dia akan memberikan dimensi baharu di jentera depan kelab Lembah Klang itu.

"Hoi kawan! Kenalkan nombor 19 baru kami Yazid Kamaruzuan! Yazid pernah beraksi dengan Kedah untuk separuh musim MPFL 2025, dan sekarang dia bersama pasukan Selangor," kapsyen Selangor Futsal mengumumkan kehadiran pemain itu.

 

 

Untuk rekod, pemain futsal kebangsana berkenaan sebelum ini menyertai skuad Harimau Selatan pada Disember 2023 sebelum akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada JDT untuk menyertai Kedah pada awal musim ini.

Selain menyarung jersi Harimau Selatan dan Kedah FA, pemain berusia 33 tahun tersebut juga mempunyai pengalaman beraksi bersama Selangor TOT United dan pernah berkhidmat untuk juara MPFL musim 2023, Pahang Rangers.

Kehadiran Yazid ke Selangor pastinya diharap dapat membantu kelab berkenaan mencabar kedudukan Pahang Rangers yang kini menghuni tempat kedua dan pastinya ingin mengatasi pendahulu liga MFPL, JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram