Nabil Latpi rentas sempadan, tinggalkan Penang sertai skuad futsal Kedah


  • Podium
  • Khamis, 29 Mei 2025

Nabil Latpi kini menyertai skuad futsal Kedah. — Penang FC

MUSIM Liga Malaysia kini sedang berehat dan walaupun tumpuan terarah kepada Harimau Malaya, aktiviti perpindahan pemain masih berjalan.

Lazimnya, kita akan menyaksikan pemain akan berpindah kelab untuk musim baharu. Namun kali ini, kita melihatkan beberapa pemain mula bergerak meninggalkan bola sepak dan menceburi futsal pula.

Aktiviti tersebut banyak dilakukan oleh Kedah yang membawa masuk pemain bola sepak ke futsal. Sebelum ini, mereka ada membawa bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Hidhir Idris.

BACA LAGI: Tinggalkan padang rumput, bekas penyerang sayap KDA-Kuching sertai skuad futsal KFA

BACA LAGI: Bintang Selangor jadi 'ejen', bocorkan rahsia Harimau Malaya kepada jurulatih Cape Verde

Kini, mereka membawa pemain Penang FC, Nabil Latpi pula untuk merentasi sempadan dengan menyertai skuad futsal Kedah dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Nabil yang melakukan 21 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Penang musim ini, menyertai skuad futsal Kedah dengan dia bakal bermain sebagai "ala".

"Cebisan terakhir sudah pun masuk. Selamat datang Muhammad Nabil atau Yeng yang akan beraksi sebagai ala. Dia datang untuk mengubah keadaan," kata skuad futsal Kedah.

"Ala" yang merupakan perkataan dalam bahasa Portugis bermaksud "sayap" merupakan posisi di mana pemain lazimnya akan berada di tepi gelanggang. Tugas mereka adalah untuk menyerang dan mendapatkan gol.

Posisi tersebut adalah serupa dengan tugas Nabil dalam bola sepak yang sering bermain sebagai pemain sayap sama ada di sebelah kiri atau kanan.

Nabil dijangka boleh diturunkan pada perlawanan Kedah yang seterusnya dalam aksi MPFL apabila mereka bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri pada Sabtu.

Kehadiran Nabil ke futsal disambut baik oleh penyokong Kedah. Namun begitu, mereka seolah-olah mula melihat terdapat kesan terhadap perubahan berlaku dalam bola sepak Malaysia.

Dengan pengenalan kuota 15 pemain import, ada yang menganggap pemain tempatan akan lebih tenggelam kerana kelab akan mula mendapatkan bakat dari luar semata-mata.

Dengan perpindahan Hidhir serta Nabil, ia menguatkan lagi naratif tersebut dan penyokong tidak terkejut sekiranya lebih ramai pemain bola sepak tempatan berpindah ke arena futsal pula.

"Pemain import 15 orang, pakat balik main futsal la," kata penyokong bernama Mohd Fakhrurrazi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram