
BERBAKI kira-kira sebulan lagi sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya, jendela perpindahan kali ini menyaksikan beberapa pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat keputusan berani mencari angin baharu.
Misalnya, penyerang muda mereka iaitu Fergus Tierney menyertai Sabah FC untuk kempen kali ini selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Liga 2 Thailand, Nakhon Pathom United dan Chonburi FC pada musim ini.
Dua lagi pemain yang turut berkelana ke kelab baharu ialah Ramadhan Saifullah dan Gabriel Nistelrooy apabila kedua-duanya memutuskan untuk menyertai Kuching City FC bagi membantu memperkuatkan jentera serangan mereka.
BACA LAGI: Lepas Jon Irazabal, dengarnya JDT bakal sambar musuh Real Madrid
BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT
Melihat suasana tersebut, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Harimau Selatan memberi sumbangan dalam membentuk dan mematangkan pemain-pemain muda sebelum menyertai destinasi baharu.
Pemerhati bola sepak negara iaitu Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan agar mereka yang pernah bernaung di bawah struktur pembangunan JDT tidak mensia-siakan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka ketika menyarung jersi pasukan lain seperti Kuching City dan Sabah FC.
"Saya rasa bagus juga ini perpindahan yang memberikan impak yang positif sebenarnya.
"Kita tak melihat kepada aspek kestabilan, ekonomi ataupun kestabilan kedudukan kewangan kepada pasukan-pasukan lain.
"Tapi kita melihat daripada aspek kemajuan-kemajuan pemain tersebut. Kalau mereka duduk di JDT, kemungkinan mereka tak akan dapat bermain. Jadi, perpindahan itu merupakan satu perkara yang bagus.
“Nak katakan groom sepenuhnya tak adalah sebab kita nampak pun ada pemain-pemain itu bukan base di JDT kerana hanya dipinjamkan. Tetapi kita tak nafikan ada juga sumbangan JDT dalam aspek ni, terutama dari segi pendedahan bersama pemain senior," katanya kepada Majoriti.
Beliau turut menyentuh mengenai pemain seperti Ramadhan yang pernah beraksi bersama JDT walaupun sebagai pemain simpanan, namun pengalaman itu dianggap penting dalam membina karakter dan kemahiran individu.
Pekan turut mengingatkan bahawa peluang yang diberikan oleh pasukan seperti Kuching City dan Sabah FC bukanlah ruang untuk berasa selesa, sebaliknya harus dijadikan pentas untuk membuktikan kemampuan sebenar.
“Kita anggap inilah kesempatan untuk mereka menonjolkan diri. Kelab-kelab yang ambil mereka ni, sudah pasti tak mahu dikecewakan. Jadi sebagai pemain yang membawa imej JDT, mereka kena tunjukkan prestasi all out.
"Contohnya macam Ramadan bila dia pergi ke Kuching City nampak usahanya, nampak kebolehan yang mungkin disimpan dulu waktu di JDT. Di JDT, dia tidak mendapat peluang kerana banyak pemain-pemain yang lebih hebat daripadanya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram