Bekas bintang JDT antara 4 pemain dilepaskan Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Skuad Sang Kenari yang membawa masuk beberapa nama baharu sepatutnya bersaing cemerlang musim ini. — Facebook/Kedah FA

SELEPAS hanya beraksi dalam divisyen kedua Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim lalu, harapan tinggi diletakkan di bahu Kedah FA untuk memberi tentangan hebat bagi kempen kali ini.

Ini setelah pasukan Utara tanah air berkenaan membawa masuk beberapa wajah baharu, termasuk import dari Paraguay, Shammir Olmedo dan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Yazid Kamaruzuan.

Namun, selepas tujuh perlawanan, skuad bimbingan Aidiel Boon Abdullah itu gagal memberi saingan selepas hanya berada di tangga ketujuh daripada lapan pasukan bertanding.

BACA LAGI: Kedah makin mantap, bawa masuk ex JDT lepas kekalkan sepupu Teerasil Dangda

BACA LAGI: Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL

Kedudukan Kedah dalam carta MPFL setakat ini adalah amat mengecewakan. Facebook/FAM

Ini termasuk lima kekalahan dialami yang menyaksikan Kedah dibolosi sebanyak 35 kali secara keseluruhan dengan statistik itu adalah yang paling teruk.

Jadi, dalam usaha mengubah nasib tersebut, pihak pengurusan kelab mengambil keputusan melakukan rombakan terhadap pasukan dengan beberapa nama besar sudah dilepaskan.

Berdasarkan laporan terbaru, empat pemain sudah digugurkan daripada pasukan, termasuk Yazid, Shamsuri Saleh, Luqman Yaacob serta Cesar Shammir yang masing-masing dilihat kurang sesuai dalam sistem semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Kedah FA, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, keputusan itu diambil kerana prestasi semasa pasukan tidak menceritakan kebolehan sebenar mereka.

Yazid merupakan antara pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Sang Kenari. Facebook/Kedah FA

Tegasnya lagi, nama-nama baharu akan dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua bermula 22 Mei nanti dengan salah seorang yang berada dalam radar pasukan adalah import berprofil tinggi.

"Langkah tersebut penting dalam memastikan skuad futsal Kedah tampil lebih kompetitif dan berdaya saing pada pusingan kedua nanti," katanya tanpa mendedahkan mereka yang akan dibawa masuk.

Satu-satunya kemenangan dicatatkan Kedah FA dalam saingan MPFL musim ini adalah semasa mereka menundukkan Sabah FA dalam perlawanan pembukaan dengan keputusan 3-1 di Alor Setar, Kedah.

Selepas itu, pasukan terbabit bergelut untuk memberi tentangan, lebih-lebih lagi ketika berdepan dua pasukan teratas musim lalu, JDT serta Selangor FC yang berakhir dengan kekalahan teruk buat skuad Sang Kenari.

Kedah FA akan berdepan skuad Gergasi Merah dalam perlawanan akan datang iaitu pada Khamis depan di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram