
PERALIHAN daripada bola sepak ke futsal bukanlah sesuatu yang biasa dalam kalangan pemain profesional di Malaysia.
Namun begitu, semakin ramai pemain mula melihat futsal sebagai satu platform alternatif yang menawarkan lebih banyak peluang beraksi, mendapatkan minit permainan dan mengekalkan daya saing dalam dunia sukan.
Langkah itu biasanya dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk kecederaan, minat terhadap format permainan yang lebih pantas, serta strategi untuk membina semula karier dalam persekitaran yang lebih sesuai dengan kelebihan masing-masing.
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
Malah, perkembangan pesat sukan futsal di Malaysia turut membuka lebih banyak ruang kepada pemain bola sepak tempatan untuk terus bersaing secara profesional.
Seiring dengan situasi tersebut, tiga pemain bola sepak tempatan tampil membuat keputusan berani meninggalkan padang bola sepak dan menyertai gelanggang futsal. Walaupun mengejutkan sebahagian peminat, perubahan itu dianggap sebagai langkah segar yang memberi nafas baharu dalam karier masing-masing.
1. Faiz Nasir
Pemain lincah bertubuh kecil, Faiz Nasir memilih untuk berkelana ke Thailand bagi menyertai MuangNara Futsal Club dalam kejohanan futsal enam sebelah pada Januari 2025.
Meskipun kejohanan itu bertaraf amatur, Faiz berjaya mencuri tumpuan apabila membantu pasukannya menamatkan saingan di tempat ketiga, selepas tewas di separuh akhir kepada pasukan Cam Colt. Lebih manis, dia turut diangkat sebagai antara pemain terbaik kejohanan tersebut.
Faiz Nasir mempamerkan bakatnya dalam sukan futsal. — Facebook/MuangNara Futsal Club
Faiz atau dikenali sebagai ‘Messi Terengganu’, sememangnya tidak asing dengan futsal. Beberapa foto dan rakaman video pernah menunjukkan dia beraksi di gelanggang futsal ketika waktu terluang, sesuatu yang turut dikongsikan peminat di Pantai Timur.
Dengan kontraknya bersama Kedah Darul Aman FC berakhir pada 31 Mei 2025, tidak mustahil Faiz akan terus menceburi sukan futsal, terutamanya apabila badan pengelola liga memperkenalkan kuota 15 pemain import untuk musim depan.
Namun, khidmat Faiz pastinya masih diperlukan Terengganu FC musim depan memandangkan dia merupakan pemain pinjaman dari Sang Penyu.
2. Nabil Ahmad Latpi
Ketika Liga Malaysia sedang berehat, beberapa pemain turut mengambil inisiatif untuk kekal aktif menerusi futsal dan Nabil Ahmad Latpi antara yang menyahut peluang ini.
Pemain Penang FC itu kini menyertai skuad futsal Kedah dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Langkah itu sekali gus meletakkan dia dalam kalangan pemain bola sepak profesional yang berani mencuba cabang baharu dalam kerjaya sukan mereka.
Nabil Latpi kini menyertai skuad futsal Kedah. — Penang FC
Kehadiran Nabil menunjukkan kesungguhan Kedah dalam memperkukuh skuad futsal, selain membuktikan keterbukaan pemain bola sepak terhadap masa depan dalam sukan yang semakin mendapat tempat di Malaysia ini.
Nabil yang melakukan 21 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Penang musim ini, menyertai skuad futsal Kedah dengan dia bakal bermain sebagai 'ala'.
Kehadiran Nabil ke futsal disambut baik oleh penyokong Kedah dan ada yang berasakan itu merupakan pilihan yang tepat memandangkan dia antara pemain yang digugurkan dari pasukan musim depan.
3. Hidhir Idris
Seorang lagi nama yang mencuri perhatian dalam futsal ialah tonggak PDRM FC, Hidhir Idris.
Walaupun masih baharu dalam arena futsal, Hidhir memiliki pengalaman luas di peringkat Liga Super dan kelebihan itu dilihat mampu menyuntik kekuatan baharu kepada skuad futsal Kedah.
Hidhir Idris pernah menyarung jersi Kuching City, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC. — Instagram/HidhirIdris
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga menunjukkan komitmen tinggi dalam saingan MPFL apabila membawa masuk pemain-pemain berprofil tinggi seperti Hidhir, dengan harapan meningkatkan prestasi dalam pusingan kedua musim 2025.
Hidhir yang akan beraksi di posisi ala itu sebelum ini pernah menyarung jersi Kuching City dan KDA FC.
Dengan kontraknya bersama The Cops berakhir pada 31 Mei nanti, tidak mustahil Hidhir akan mengambil keputusan untuk terus bersaing dalam arena futsal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram