
NAMA Fabio Gonzalez menjadi sebutan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) pada bulan lepas selepas pemain kelahiran Sepanyol berkenaan dikhabarkan akan memperkuatkan jentera tengah Harimau Selatan.
Berdasarkan beberapa ciapan di laman X pada Mei lepas, ramai percaya JDT berjaya mendapatkan khidmat Fabio Gonzalez dari CD Tenerife dengan kehadirannya akan mencipta kelainan dalam pasukan musim depan.
"Fabio Gonzalez difahamkan sudah menandatangani kontrak bersama sebuah kelab dari Malaysia. Ia difahamkan menjadi punca di sebalik pemergiannya dari pasukan lebih awal sebelum berakhirnya kempen LaLiga2," tulis Manoj Daswani.
BACA LAGI: [VIDEO] Dilepaskan kelab EPL, Sabah FC antara 3 pasukan Liga Super sesuai rebut CB Indonesia
BACA LAGI: 'Midfield' import jadi rebutan skuad Jang-Kuching City andai tempoh di Lembah Klang tamat
Sepanjang kariernya, pemain berusia 28 tahun itu hanya pernah menyarung jersi Tenerife dan Las Palmas dengan dia pernah mencatatkan sembilan penampilan dalam divisyen utama di Sepanyol.
Bagaimanapun, perpindahan ke Harimau Selatan tidak berhasil berikutan masalah peribadi yang tidak dapat dielak. Dengan status Gonzalez sebagai ejen bebas, adalah lebih baik jika pasukan Liga Super lain cuba menandatanganinya.
Selepas terlepas ke Iskandar Puteri untuk kempen Liga Malaysia 2025/1016, Majoriti menyenaraikan tiga kelab Liga Super sesuai menjadi majikan pemain kelahiran akademi Las Palmas berkenaan.
1) Selangor FC
Selangor musim depan akan beraksi di saingan ACL2. — Facebook/SelangorFC
Gonzalez dilihat sebagai calon ideal untuk memperkukuh jentera tengah Selangor FC susulan pengalaman yang dimilikinya dalam liga Eropah boleh membantu Gergasi Merah dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Ketangkasan pemain berusia 27 tahun berkenaan dalam membaca pergerakan lawan dan kebolehan mengawal tempo permainan menjadikannya aset bernilai untuk mana-mana pasukan yang mahukan keseimbangan di bahagian tengah.
Selain mampu menjadi penghubung antara pertahanan dan serangan, pemain berketinggian 1.76 meter itu juga mempunyai kemampuan untuk melakukan hantaran berbahaya yang boleh menyusahkan pemain lawan.
Dari sudut lain, Selangor FC dilihat sebagai destinasi yang sesuai susulan dengan reputasi sebagai salah satu kelab paling berjaya dalam Liga Malaysia. Fabio berpeluang menyerlahkan potensi sepenuhnya serta menjadi antara watak utama dalam misi pasukan memburu kejuaraan.
Sekiranya pemain berkenaan menyertai kelab berpangkalan di Lembah Klang itu, Gonzalez boleh digandingkan dengan pemain tengah semasa seperti Noor Al-Rawabdeh, Noaa Laine dan Alex Agyarkwa.
2) Negeri Sembilan FC
Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat paling bersedia untuk menyambar pemain berkaki kanan itu terutamanya selepas melantik bekas jurulatih Selangor, Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih baharu.
Menjelang saingan Liga Malaysia 2025/2026, skuad Jang sudah memperkuatkan pasukan dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani dan Khuzaimi Piee.
Rombakan besar-besaran itu membuktikan pasukan tersebut mahu tampil sebagai pesaing terhebat dalam saingan domestik dan sekurang-kurangnya menghuni kedudukan keempat seperti kempen 2022.
Kehadiran pemain yang mampu beraksi di posisi penyerang sayap itu juga dilihat mampu menambah kreativiti dan keseimbangan dalam jentera tengah pasukan yang sebelum ini dilihat kurang konsisten.
Sekiranya Fabio menyertai Negeri Sembilan FC, ia bukan sahaja akan meningkatkan mutu permainan pasukan, tetapi juga memberi nafas baharu kepada usaha Rusa mencabar kedudukan lebih tinggi dalam Liga Super musim ini.
3) Sabah FC
Castanheira (kiri) menjadi tonggak import terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC. — Instagram/telmocastanheira
Tempat ketiga Liga Super 2024/2025, Sabah FC boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat Gonzalez bagi memperkuatkan jentera tengah mereka menjelang separuh kedua musim ini.
Gonzalez dengan ketenangan mengawal permainan dan ketajaman hantaran, dilihat sebagai calon ideal untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain Portugal, Telmo Castanheira yang baru-baru ini meninggalkan skuad The Rhinos.
Dengan pengalaman bermain di liga Sepanyol bersama beberapa kelab dalam saingan Segunda Division, kehadiran Gonzalez dijangka mampu memberikan impak segera kepada Sabah FC yang kini sedang bergelut mencari kestabilan di bahagian tengah padang.
Sabah FC yang kini menduduki pertengahan carta liga berharap dapat memperkukuhkan skuad mereka bagi mencabar kedudukan teratas dan memperbaiki prestasi yang tidak konsisten sejak kehilangan Castanheira.
Jika rundingan berjalan lancar, Gonzalez dijangka akan diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat sebagai salah satu pemain import utama Sabah FC bagi baki musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram