Tinggalkan padang rumput, bekas penyerang sayap KDA-Kuching sertai skuad futsal KFA


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Hidhir Idris pernah menyarung jersi Kuching City, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC. — Instagram/HidhirIdris

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menunjukkan kesungguhan mahu memperbaiki kedudukan dalam pusingan kedua Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dengan membawa masuk beberapa pemain baharu baru-baru ini. 

Inisiatif tersebut diambil selepas pasukan Utara tanah air berkenaan mengumumkan keputusan melepaskan empat pemain selepas berasakan prestasi pasukan di tahap mengecewakan pada pusingan pertama MPFL. 

Mereka yang ditunjukkan jalan keluar ialah Shammir Olmedo, Luqman Yaakob, Shamsuri Saleh serta bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Yazid Kamaruzuan dengan pendekatan tersebut menerima persoalan penyokong.

BACA LAGI: Kempen MPFL makin mencabar, bekas tonggak Sabah jadi pilihan Pahang Rangers

BACA LAGI: Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL

Selepas membawa masuk Higuchi Takeshi di posisi fixo, skuad bimbingan Aidiel Boon Abdullah juga mengumumkan ketibaan satu lagi pemain baharu di posisi ala iaitu Mohammad Hidhir Idris bagi memperkuatkan serangan. 

Hidhir Idris mungkin nama baharu dalam arena futsal tanah air tetapi pemain berkenaan cukup dikenali dalam sukan bola sepak apabila sebelum ini dia pernah menyarung jersi Kuching City, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC. 

"KFA dengan bangga mengumumkan pemain baharu, Mohammad Hidhir Idris yang akan memperkuat pasukan pada saingan pusingan kedua MPFL 2025. Bekas jeneral padang, kini bersedia menggegar sebagai ala dan akan memakai jersi lima! Pulun Idet Pulun," tulis KFA pada Khamis. 

Kali terakhir menyarung jersi PDRM FC pada musim 2024/2025, pemain berusia 28 tahun berkenaan hanya diturunkan dalam satu perlawanan iaitu ketika Sang Saka Biru menentang Malaysia University bagi saingan pusingan 16 Piala FA.

Sebelum menyertai PDRM FC pada 2024, pemain sayap kiri berkenaan berkhidmat bersama Kuching City dari pada musim 2021 hingga 2023, yang menyaksikan dia tampil dalam 18 perlawanan untuk The Cats. 

Dalam pada itu, selain Hidhir Idris dan Takeshi, Kedah juga membawa kembali Izwan Iskandar Gazali (pivot), Hamzah Ahmad (ala), Izzul Hafiz Ilias (goleiro) dan Fauwaz Shaharuddin (ala) untuk memperkuatkan pasukan pada pusingan kedua MPFL. 

Diharapkan, kemasukan beberapa pemain baharu itu diharapkan mampu membantu Kedah memperbaiki prestasi selepas hanya mencatatkan satu kemenangan serta satu keputusan seri daripada lapan perlawanan.

Rekod mengecewakan itu menyaksikan pasukan dari divisyen kedua MPFL musim kedua itu berada di tangga kedua tercorot dengan perubahan segera perlu dilakukan bagi meletakkan pasukan di kedudukan lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram