Tiga suspek termasuk 2 wanita ditahan sekitar JB, Gemenceh bantu kes bunuh pelajar universiti di Cyberjaya


  • Kes
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Mangsa dibedah siasat selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

POLIS menahan tiga individu bagi membantu siasatan susulan kes penuntut universiti yang ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Cyberjaya, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tangkapan terhadap seorang lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 20 tahun itu dibuat semalam dan awal pagi Jumaat antara pukul 9 pagi hingga 2 pagi.

"Tangkapan dibuat di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, dalam masa 48 jam setelah laporan polis diterima. Kesemua yang ditahan dipercayai mengenali mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: Nancy harap siasatan telus, integriti kes kematian pelajar wanita di universiti swasta Cyberjaya

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita kongsi detik cemas Mat Bangladesh cuba buka pintu kereta di Cyberjaya

Norhizam meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat pagi ini di Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor bagi membantu siasatan.

Norhizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat tidak benar yang boleh mengganggu siasatan dan jangan mengambil sebarang tindakan boleh melanggar undang-undang.

Selasa lalu, tular di media sosial menyatakan seorang penuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi ditemukan maut dalam asrama pelajar.

Mangsa ditemukan meninggal dunia dalam asrama pelajar sekitar Cyberjaya.

Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak ditemukan rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan terdapat kesan kecederaan ditubuh kira-kira pukul 10 pagi.

Mangsa menetap di asrama bersama lima penutut lain, namun masing-masing pulang untuk bercuti pada Sabtu lalu dengan mangsa berseorangan kerana akan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.

Barang berharga milik mangsa, seperti kad ATM, komputer riba, telefon pintar serta sejumlah wang dilaporkan hilang dari lokasi kejadian.

Polis juga tidak menemukan sebarang unsur rogol terhadap mangsa. Laporan bedah siasat turut mendapati mangsa maut akibat hentakan objek tumpul di kepala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram