
SEBUAH badan kebajikan antarabangsa yang membantu mangsa keganasan rumah tangga, Woman's Aid mendedahkan rekod kes penderaan tertinggi pada 2024 sepanjang penubuhannya selama 50 tahun.
Berdasarkan laporan tahunannya, satu per tiga wanita yang menghubungi mereka berdepan dengan kes penderaan yang kejam dan bagaikan sudah menjadi endemik dalam kalangan masyarakat di United Kingdom (UK).
Menurutnya, antara kes yang sering dilaporkan kepada mereka adalah serangan menggunakan senjata, kawalan ketat, penghinaan, perkongsian gambar intim dalam talian, mengehadkan kewangan keluarga, serangan seksual serta ancaman bunuh.
Stigma masyarakat terhadap keganasan rumah tangga antara faktor menyebabkan mangsa sukar tampil ke hadapan. — Gambar hiasan/Agensi
Dalam laporan sama, kes penderaan fizikal meningkat 22 peratus, penderaan seksual sehingga 30 peratus, penderaan emosi 15 peratus dan penyalahgunaan kewangan meningkat 5 peratus.
Penyelidik di Ireland, UK juga mendedahkan bahawa insiden keganasan rumah tangga yang dilaporkan melonjak lebih daripada 20 peratus dalam tempoh dua tahun iaitu sebanyak lebih 65,000 kes pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Woman's Aid, Sarah Benson menyifatkan jumlah peningkatan laporan kes itu sebagai mengerikan dan merupakan bukti penderaan rumah tangga tidak boleh disembunyikan.
"Ia adalah endemik dalam semua aspek masyarakat kita.
"Jika kita mahu menghentikan kemudaratan sebelum ia berlaku, kita perlu menjadi masyarakat yang adil dengan sifar toleransi terhadap penderaan domestik," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan insiden tersebut dilaporkan menerusi panggilan telefon percuma 24 jam dan perkhidmatan bersemuka serantau.
Talian bantuan itu menerima sebanyak 24,396 kenalan dengan peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pendedahan itu termasuk 41,432 penderaan terhadap wanita dan 5,333 bagi kanak-kanak.
Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa 35 peratus wanita yang menghubungi Women's Aid pada 2024 mengalami penderaan fizikal, psikologi atau seksual oleh pasangan, manakala 33 peratus penderaan domestik daripada bekas pasangan mereka.
Benson berkata, ketakutan dan stigma masyarakat terhadap keganasan rumah tangga boleh menghalang mangsa daripada tampil bersuara.
"Begitu ramai mangsa yang terselamat tidak mempunyai maklumat atau keyakinan untuk menghubungi perkhidmatan pakar dan kira-kira satu pertiga akan menderita secara senyap tanpa memberitahu sesiapa apa yang berlaku kepada mereka.
"Kami masih mempunyai banyak kerja perlu dilakukan untuk memecahkan rantaian masalah ini untuk menggalakkan mereka yang memerlukan mendapatkan sokongan sepatutnya.
"Tetapi, kekurangan pakar dan dana menjadi cabarab untuk memenuhi bantuan yang semakin meningkat," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram