
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Iran kini berkuat kuasa, sambil merayu kedua-dua pihak supaya tidak melanggarnya, meskipun serangan maut masih berlaku di kedua-dua negara.
Trump berkata demikian dalam kenyataan di Truth Social, pada Isnin, berbunyi: "THE CEASEFIRE IS NOW IN EFFECT. PLEASE DO NOT VIOLATE IT! (Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Tolong patuhi)".
Pengumuman itu dibuat selepas Iran sempat melancarkan gelombang baharu peluru berpandu yang mengorbankan empat orang di Israel, menurut perkhidmatan ambulans negara itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Teknik serangan misil Iran kelirukan sistem pertahanan musuh
Dalam masa sama, pihak berkuasa Iran turut melaporkan sembilan kematian serangan udara Israel di wilayah utara negara itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan Israel bersetuju dengan cadangan gencatan senjata oleh Trump selepas mendakwa mencapai matlamat strategik mereka iaitu menghapuskan ancaman nuklear dan peluru berpandu balistik dari Iran.
Bagaimanapun, Netanyahu memberi amaran akan bertindak balas dengan keras sekiranya perjanjian itu dilanggar.
Gencatan senjata berkenaan diumumkan selepas konflik memuncak sejak Ahad lalu apabila AS melancarkan serangan ke atas tapak nuklear Iran, sekali gus mencetuskan tindak balas balistik dari Tehran ke atas pangkalan AS di Qatar pada Isnin.
Trump’s “Ceasefire” lasted shorter than a viral reel.
Tel Aviv hit. Sirens across Israel.
Iran didn’t blink.
Peace talks, or PR?#IranIsraelConflict #Iran #Israel #TelAviv #Trump #IranMissileStrike #IsraelUnderAttack #MiddleEastCrisis #BreakingNews pic.twitter.com/BJ9GVUFUGk
— Deepti Sachdeva (@DeeptiSachdeva_) June 24, 2025
Saksi di Israel turut mendengar beberapa letupan awal pagi Selasa berhampiran Tel Aviv dan Beersheba.
Tentera Israel melaporkan enam serangan peluru berpandu dilancarkan dari Iran, manakala perkhidmatan ambulans mengesahkan empat kematian di Beersheba.
Agensi berita separa rasmi Iran, SNN, menyatakan bahawa peluru berpandu terakhir Iran dilancarkan sebelum gencatan senjata bermula.
Di Iran, Timbalan Gabenor wilayah Gilan berkata empat unit kediaman musnah sepenuhnya dalam satu serangan yang digelar sebagai "serangan pengganas" pada pagi Selasa.
Laporan agensi Tasnim menyatakan sembilan maut dan 33 lagi cedera.
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas sama ada serangan itu dilakukan Israel, Nournews milik kerajaan Iran melaporkan saintis nuklear, Mohammadreza Sediqi, terbunuh dalam serangan udara Israel sebelum gencatan senjata bermula.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih memaklumkan Trump menjadi orang tengah dalam mengatur gencatan senjata itu melalui panggilan telefon dengan Netanyahu, dengan syarat Iran tidak melancarkan lagi sebarang serangan.
"Dengan andaian semuanya berjalan lancar, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, atas ketabahan, keberanian dan kecerdasan mereka dalam menamatkan apa yang patut digelar sebagai 'PERANG 12 HARI'," tulis Trump di Truth Social.
BREAKING:
Iran attacks US base in Qatar — 6 missiles fired under Operation Basharat al-Fath.
US troops at Al Udeid Air Base take shelter. Interceptors seen lighting up Gulf skies.
US troops take cover. Gulf skies ablaze.#Iran #USattackIran #Quatar #Kuwait #Israel pic.twitter.com/aEzPrwIVdx
— Patil Vishwajit (@_PatilVishwajit) June 23, 2025
Sementara itu, seorang pegawai Iran mengesahkan bahawa Teheran bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata tersebut.
Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, memberi amaran bahawa gencatan akan terbatal jika Israel masih meneruskan serangan.
Araqchi berkata, jika Israel menghentikan "pencerobohan haram" terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya pukul 4 pagi waktu Tehran (0030 GMT) pada Selasa, Teheran tidak akan meneruskan tindak balas ketenteraan.
Tambah Araqchi lagi, keputusan akhir mengenai penghentian operasi ketenteraan akan dibuat kemudian melalui hantaran di X (Twitter).
Ketegangan tercetus susulan dakwaan Israel bahawa Iran semakin hampir memperoleh senjata nuklear. Sebagai tindak balas, Israel dengan sokongan AS melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Iran menafikan memiliki program senjata nuklear dan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, bahawa jika negaranya mahu membangunkan senjata itu, "pemimpin dunia tidak akan mampu menghentikannya".
Untuk rekod, Israel bukan anggota Perjanjian Pengawalan Penyebaran Nuklear (NPT) dan dipercayai satu-satunya negara di Asia Barat yang memiliki senjata nuklear, walaupun tidak pernah mengesahkannya secara rasmi.
Menurut seorang pegawai yang dimaklumkan mengenai rundingan damai itu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, mendapatkan persetujuan Teheran dalam satu panggilan dengan pegawai Iran.
Naib Presiden AS, JD Vance, Setiausaha Negara, Marco Rubio dan utusan khas AS, Steve Witkoff, turut terlibat dalam rundingan secara langsung dan tidak langsung dengan Iran, menurut pegawai Rumah Putih.
Setakat ini, kedua-dua misi Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kedutaan Israel di Washington belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada agensi Reuters.
Sebelum itu, tiga pegawai kanan Israel memaklumkan bahawa Israel akan menamatkan kempen ketenteraan mereka di Iran dan mesej ini disampaikan kepada AS.
Menurut laporan Channel 12 Israel, Netanyahu turut mengarahkan semua menteri Kabinet yang hadir dalam mesyuarat yang berakhir awal pagi Selasa supaya tidak membuat sebarang kenyataan awam mengenai isu itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram