[VIDEO] Jangan biar anak tak diawasi elak kes pelancong tiba-tiba hempas budak 2 tahun di Moscow


  • Benua
  • Rabu, 25 Jun 2025

Tangkap layar suspek mengasari seorang kanak-kanak di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow baru-baru ini sehingga menyebabkan kecederaan parah pada mangsa. — Agensi

SEORANG lelaki bertindak kejam apabila secara tiba-tiba mengangkat dan menghempas seorang bayi lelaki berusia 18 bulan ke lantai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo dekat Moscow, Rusia baru-baru ini.

Kejadian tragis itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang berkenaan.

Memetik laporan media antarabangsa, mangsa kini bertarung nyawa dalam keadaan koma akibat kecederaan parah di tengkorak dan tulang belakang.

BACA LAGI: Tukar lampin, jaga bayi antara risiko buat golongan bapa kemurungan

BACA LAGI: Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar

Bayi itu baru tiba di Rusia bersama ibunya selepas melarikan diri daripada pengeboman di Iran melalui laluan sukar merentasi Afghanistan.

Suspek pula dikenali sebagai Vladimir Vitkov, 31, warga Belarus.

Dalam rakaman CCTV, suspek dilihat memerhati mangsa yang berada bersebelahan beg pakaiannya sebelum secara tiba-tiba mengangkat dan menghempas kanak-kanak itu ke lantai dengan kuat.

Kejadian berlaku di kawasan balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.

 

 

 

Difahamkan, insiden itu berlaku ketika ibu mangsa yang sedang hamil sedang mengambil kereta sorong anaknya selepas penerbangan mereka mendarat.

Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian segera meluru dan mengangkat mangsa yang cedera parah.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan, termasuk kemungkinan unsur perkauman atau motif lain di sebalik serangan tidak berperikemanusiaan itu.

Laporan turut menyebut suspek baru tiba di Moscow dengan penerbangan dari Cyprus atau Mesir.

Vladimir Vitkov ditahan sejurus kejadian berlaku dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Wilayah Moscow, Ksenia Mishonova, dalam kenyataannya menyifatkan insiden itu sebagai amat menyayat hati.

"Seorang 'raksasa' yang khayal akibat dadah mengangkat seorang bayi di balai ketibaan dan menghempasnya ke lantai dengan sekuat tenaga.

"Kejadian ini sangat sukar untuk diterima.Saya berharap pelaku akan menerima hukuman paling berat mengikut undang-undang. Saya doakan agar kanak-kanak itu segera sembuh dan semoga kedua-dua ibu bapanya diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, ujian darah mendapati terdapat kesan ganja dalam tubuh suspek, dan dadah turut ditemui dalam milikannya semasa ditahan.

Sementara itu, Vladimir Vitkov dilaporkan tidak dapat memberikan penjelasan waras mengenai tindakannya.

Ketika ditanya pihak polis sama ada dia pernah berdepan masalah dengan undang-undang sebelum ini, dia menjawab:

“Saya pernah lakukan kesilapan seperti itu.”

Apa yang lebih mengejutkan, laporan turut mendedahkan Vladimir Vitkov mempunyai anak perempuan yang sebaya dengan mangsa.

Seorang wanita yang dipercayai kenalannya dilaporkan dalam keadaan terkejut selepas menyaksikan kejadian itu.

Suspek kini sedang disiasat atas tuduhan cubaan membunuh.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasatan:

“Seorang lelaki, dalam keadaan khayal akibat dadah, telah mengangkat seorang kanak-kanak di balai ketibaan lapangan terbang dan menghempasnya ke lantai dengan kekerasan.

Mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tindakan suspek berjaya dihentikan oleh saksi kejadian yang berada di lokasi.”

Untuk rekod, Lapangan Terbang Sheremetyevo merupakan lapangan terbang tersibuk di Rusia, mengendalikan lebih 40 juta penumpang dan lebih 300,000 penerbangan setiap tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram