AS mula 'goyang', minta China pujuk Iran tak tutup Selat Hormuz


  • Benua
  • Isnin, 23 Jun 2025

Parlimen Iran meluluskan langkah untuk menutup Selat Hormuz susulan serangan AS ke atas tiga kemudahan nuklear. — Agensi

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio menggesa China agar campur tangan dan menasihati Iran supaya tidak menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan utama dunia yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak global.

Gesaan itu dibuat susulan laporan media rasmi Iran, Press TV yang memaklumkan bahawa parlimen negara tersebut telah meluluskan cadangan untuk menutup Selat Hormuz.

Bagaimanapun, keputusan muktamad masih tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

BACA LAGI: [VIDEO] Content suami isteri 'bergaduh' dah sampai ke merata dunia, wartawan Israel pandai-pandai buat spekulasi

BACA LAGI: Tidak ikut jejak AS, negara Eropah pilih elak berperang dengan Iran

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio. Agensi

Langkah menutup selat berkenaan berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya kepada China yang merupakan pembeli terbesar minyak Iran dengan lebih 1.8 juta tong minyak diimport setiap hari pada bulan lalu, menurut firma penjejakan kapal, Vortexa.

“Saya menyeru kerajaan China di Beijing supaya hubungi Iran mengenai perkara ini kerana mereka sangat bergantung kepada Selat Hormuz untuk mendapatkan bekalan minyak.

“Jika Iran menutup selat itu, ia akan menjadi tindakan bunuh diri dari segi ekonomi bagi mereka. Kami  ada pilihan untuk bertindak, tetapi negara lain juga perlu ambil perhatian kerana kesannya terhadap ekonomi mereka jauh lebih besar daripada kami,” kata Rubio.

Lebih 20 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz, menjadikan laluan itu sangat penting kepada negara pengeluar minyak dan gas di Timur Tengah. Sebarang gangguan boleh melonjakkan harga minyak secara mendadak.

Ekoran serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear Iran baru-baru ini, harga minyak mentah global turut melonjak.

Penganalisis, Saul Kavonic dari MST Financial berkata, AS kini berada dalam kedudukan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang serangan balas dari Iran. Namun beliau memberi amaran bahawa situasi itu boleh terus mencetuskan ketegangan dan melonjakkan harga minyak dunia.

Kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada pengguna, termasuk kos bahan api dan barangan keperluan harian seperti makanan.

Negara-negara Asia lain seperti India, Jepun dan Korea Selatan juga sangat bergantung kepada minyak mentah yang dihantar melalui Selat Hormuz.

Sementara itu, penganalisis, Vandana Hari berkata, tindakan Iran untuk menutup Selat Hormuz boleh memakan diri.

“Iran berisiko menjadikan jiran pengeluar minyaknya sebagai musuh dan menimbulkan kemarahan China, pasaran utamanya jika mereka mengganggu laluan perdagangan di selat itu,” katanya kepada BBC News.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram