
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berharap agar siasatan terhadap kes kematian pelajar wanita di Cyberjaya dijalankan secara telus, menyeluruh dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan buat keluarga mangsa.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mendiang Maniishapriet Kaur Akhara pagi tadi, susulan kejadian tragis yang berlaku di asrama pelajar di Mutiara Ville.
"Saya percaya dan berharap siasatan dijalankan dengan penuh ketelusan dan integriti agar tidak ada sebarang keraguan.
"Keadilan buat mendiang mesti ditegakkan, dan keluarga berhak mengetahui kebenaran,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Nancy turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi detik sukar ini.
“Saya juga mendoakan agar segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan. Insya-ALLAH,” tambah beliau.
Polis sebelum ini mengesahkan tiada unsur rogol dalam kematian pelajar berusia 20 tahun itu, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang.
Mangsa yang merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti swasta di Cyberjaya, ditemui mati dalam bilik asrama pada pagi kelmarin.
Ketika kejadian, mangsa tinggal bersendirian selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.
Difahamkan, mangsa dijadualkan menduduki peperiksaan pada hari yang sama beliau ditemui meninggal dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram