Tak lama lepas digugurkan JDT, Jese Rodriguez disebut berada dalam radar kelab lama


  • Podium
  • Khamis, 26 Jun 2025

Jese pada awalnya diharapkan dapat memberi lonjakan hebat buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PEMBUKAAN jendela perpindahan Liga Super 2025/26 awal Jun lalu menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) pantas menunjukkan jalan keluar kepada pemain yang dirasakan kurang memberi impak.

Antara yang mengalami nasib tersebut ialah penyerang kelahiran Sepanyol, Jese Rodriguez yang tiba di Selatan tanah air pada Oktober tahun lalu dengan perpindahan itu mengejutkan orang ramai.

Ini kerana pemain tersebut pernah mewakili kelab gergasi sekitar Eropah, termasuk Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) dengan pelbagai kejayaan pernah dikecapinya.

BACA LAGI: Belum ada kata putus, Jese harap masih miliki masa depan bersama JDT

BACA LAGI: Lepas 6 tahun kemarau piala, Jese Rodriguez akhirnya rangkul trofi pertama di Asia bersama JDT

Perpindahan Jese ke skuad Harimau Selatan menjadi bahan bualan peminat bola sepak tempatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Meskipun namanya mula dilupakan akibat kecederaan dialami, bintang berusia 32 tahun berkenaan masih dianggap perpindahan mega buat skuad Harimau Selatan dalam usaha melonjakkan reputasi ke mata dunia.

Bagaimanapun, sepanjang separuh musim bersama JDT, Jese kurang memberi impak besar apabila hanya mencetak empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 13 penampilan dalam semua pertandingan.

Pulangan tersebut adalah cukup mengecewakan, lebih-lebih lagi dengan reputasinya dikenali ramai selain permintaan gaji tinggi yang sepatutnya menyaksikan sumbangan lebih besar dapat dihasilkan.

Perpindahan keluar Jese dari JDT kemudian menimbulkan persoalan mengenai masa depannya kerana kemungkinan untuknya kekal di Asia adalah tipis kerana dia pasti lebih tertarik akan mana-mana tawaran di Eropah.

Malah, dalam laporan terbaru El Gol Digital, terdapat kemungkinan pemain itu akan kembali ke pangkuan kelab Sepanyol, Las Palmas meskipun terdapat tawaran dari beberapa kelab lain.

Jese pernah menyertai Las Palmas sebanyak dua kali dalam kariernya. Agensi

"Selepas tempoh beraksinya buat JDT berakhir, dia tidak memperbaharui kontrak dan akan bergelar ejen bebas. Penyerang itu mempunyai pilihan untuk ke Amerika Syarikat, Arab Saudi atau Qatar.

"Isu fizikal dan minit permainan menyaksikannya kerap dipinggirkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Sejak meninggalkan Las Palmas pada 2021, dia beraksi dalam pelbagai liga tanpa meraih konsistensi untuk membolehkannya menyesuaikan diri," katanya.

Meskipun menjulang tiga trofi sepanjang berada di Selatan tanah air, Jese bukanlah pilihan utama dalam pasukan yang dibanjiri lambakan penyerang lain sehingga menyukarkannya peluang beraksi.

Malah, pihak kejurulatihan JDT turut berdepan kesukaran untuk meletakkannya dalam posisi berbeza, seperti sebagai penyerang sayap yang menceritakan nasib dialaminya bersama kelab terbabit.

Jadi, dengan kariernya semakin memasuki penghujungnya, terdapat kemungkinan besar dia akan kembali ke Sepanyol dengan harapan tempoh dihabiskan di sana mampu menghadiahkan momen bermakna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram